KPT muktamadkan proses pengambilan pemegang sijil kemahiran

Para pemegang sijil kemahiran yang menyertai politeknik akan berpeluang menikmati pemindahan kredit atau melompat terus ke tahun kedua pengajian.
Para pemegang sijil kemahiran yang menyertai politeknik akan berpeluang menikmati pemindahan kredit atau melompat terus ke tahun kedua pengajian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti sedang memuktamadkan proses bagi membolehkan pengambilan pemegang-pemegang sijil kemahiran dari semua jenis institusi kemahiran untuk menyertai politeknik.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia bukan sahaja memudahkan laluan kemasukan, malah para pemegang sijil kemahiran yang menyertai politeknik akan berpeluang menikmati pemindahan kredit atau melompat terus ke tahun kedua pengajian.

Tambahnya, inisiatif itu merupakan pelebaran dasar sedia ada yang sudah membenarkan lepasan politeknik untuk menikmati pemindahan kredit dan melompat terus ke tahun kedua apabila menyambung pelajaran di peringkat ijazah di universiti-universiti teknikal.

“Ini bermakna, ekosistem kita semakin memihak kepada pelajar TVET (Pelajar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) dan pemegang sijil.

“Sebagai pemegang sijil, mereka berpeluang melompat terus ke tahun kedua apabila memasuki politeknik. Dan apabila tamat politeknik, mereka boleh pula melompat terus ke tahun kedua di universiti-universiti teknikal.

“Kita harap dasar dan sistem ini akan menjadi insentif dan motivasi yang menarik kepada anak muda khususnya ramai pemegang sijil untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi dalam bidang TVET,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penutupan Program Jom Masuk U 2023 di Universiti Malaya pada Ahad.

Tambah beliau, KPT juga buat pertama kalinya akan memperkenalkan Program Asasi TVET.

Jelasnya, bermula tahun ini, para pemohon program TVET yang berjaya akan ditempatkan di salah satu daripada lima Pusat Asasi TVET terpilih yang akan dibuka di seluruh negara.

“Pusat-pusat Asasi TVET tersebut adalah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) yang akan bekerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN) yang akan bekerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Politeknik Merlimau Melaka (PMM) yang akan bekerjasama dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM).

“Selain itu, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) yang akan bekerjasama dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Politeknik Ungku Omar (PUO) yang akan menjadi pusat asasi TVET bersama kepada empat buah universiti teknikal,” ujarnya.

Menurut Mohamed Khaled, ia bukan sahaja satu pengiktirafan khusus kepada program-program TVET, malah ia adalah satu laluan yang sistematik dan jelas bagi peringkat ijazah.