HULU SELANGOR setahun sesudah perbandaran

A
A
A

No Image Caption



Tanggal 21 Oktober 2021 sejarah yang akan terus dikenang oleh seluruh penduduk daerah Hulu Selangor apabila Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) yang dibentuk pada 1 Januari 1975 dinaiktaraf kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Pengisytiharan dilaksanakan dengan gemilangnya selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Darul Ehsan dan ditonton oleh rakyat Hulu Selangor secara dalam talian.

Dengan penarafan ini, bermulalah cabaran kepada seluruh warga kerja MPHS untuk mendepani ekspektasi penduduk Hulu Selangor terhadap perkhidmatan perbandaran.

Perbandaran membawa pelaburan

Penarafan MPHS membuka mata pelabur kepada potensi pembangunan daerah ini. Persetujuan pihak Kerajaan Negeri Selangor ke atas laluan East Coast Rail Link (ECRL) yang dikembalikan ke laluan asal iaitu Gombak – Serendah – Puncak Alam menaikkan potensi pembangunan kawasan Serendah.

Serendah dikenal pasti dalam Rancangan Selangor Satu (RS-1) sebagai Hab Logistik selaras fungsi Stesen ECRL Bandar Serendah iaitu titik pertemuan antara laluan servis Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari utara (Pelabuhan Pulau Pinang) dan ECRL dari pantai timur (Pelabuhan Kuantan) untuk ke Pelabuhan Klang. Ini menjadikan Serendah dan kawasan sekitarnya sebagai pilihan syarikat-syarikat logistik dan gudang penyimpanan membuka operasi di sini.

ECRL juga telah menarik pemaju hartanah membangunkan projek perumahan baharu di Serendah kerana integrasi antara ECRL dan KTMB di Serendah akan memudahkan perhubungan selain menjimatkan masa perjalanan antara pantai timur ke Lembah Klang dan ke utara. Pembangunan Bandar Serendah oleh pihak Nadi Embun Sdn Bhd seluas 39.46 hektar, antara pemajuan baharu yang bakal mengubah landskap Serendah.

Bandar Sungai Buaya juga bakal dibangunkan kembali dan dipulihkan. Selangor International Furniture City (SIFC) dirancang untuk dibangunkan di atas tanah berkeluasan 435.44 hektar oleh MJD Land Sdn Bhd, selain pembangunan Bandar Bukit Idaman seluas 19.856 hektar oleh pihak TA Properties Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan:


Hulu Selangor menerima pelaburan berimpak tinggi apabila syarikat pengeluar sel solar terkemuka Longi (Kuching) Sdn Bhd melabur sebanyak RM2.16 bilion di Bandar Industri Bernilai Tinggi Serendah (Serendah High Value Manufacturing Park) bagi membuka kilang pemasangan sel solar. Pelaburan ini bakal meletakkan Serendah sekali lagi di peta dunia sebagai pengeluar sel solar selain memberi peluang pekerjaan kepada penduduk Hulu Selangor.

MPHS sentiasa bersedia untuk menguruskan permohonan- permohonan pemajuan dengan tempoh pemprosesan yang singkat bagi memastikan pembangunan dapat segera dilaksanakan di tapak. Selaras dengan matlamat yang ditetapkan dalam Rancangan Tempatan Daerah Hulu Selangor 2035 bagi menjadikan Hulu Selangor Daerah Mesra Pelabur, Unit Pusat Setempat (OCS) diperkukuhkan bagi memproses setiap pelan pembangunan.

Bagi pelaburan berimpak tinggi permohonan berkenaan akan dipantau rapi untuk memastikan permohonan itu dapat diluluskan dengan segera. Untuk mempertingkatkan dan memudahkan sistem penyampaian, pihak MPHS telah membangunkan Sistem Maklumat Eksekutif (Executive Information System [EIS]) bagi memudahkan orang ramai terutama pelabur menyemak zon guna tanah dan garis panduan terkini yang digunakan oleh pihak MPHS.

No Image Caption



Maklumat permohonan:

- Pada 2021 - 485 permohonan pemajuan dengan nilai pelaburan RM40,542,732.

- Sehingga Oktober 2022 - 445 permohonan dengan nilai pelaburan meningkat kepada RM2,231,500,000.

- Lebih 600 permohonan dijangka menjelang Disember 2022.

- Tahun 2023 - pembangunan dijangka rancak di Batang Kali, Hulu Yam, Genting Highlands dan Serendah.

Peningkatan kualiti kehidupan penduduk

Bagi memastikan kemudahan awam selari dengan keadaan semasa dan memenuhi ekspektasi penduduk, MPHS telah menaiktaraf dewan dan kawasan secara berperingkat melalui peruntukan tahunan iaitu:

- Dewan Dato’ Abdul Hamid, Bandar Utama Batang Kali selesai dinaiktaraf.

- Dewan Serbaguna Jalan Seroja, Bandar Bukit Sentosa dan Dewan Banquet Kuala Kubu Bharu dalam peringkat reka bentuk, dijangka pembinaannya pada akhir 2023.

- Dewan Serbaguna Taman Danau, Hulu Bernam dalam proses dibaiki dan dinaiktaraf.

- Seksyen BS1, Bandar Bukit Sentosa merupakan zon Sustainable Development Goal (SDG) kawasan riadah untuk dinaiktaraf pada 2023.

Perbandaran memperkasakan pelancongan

Hulu Selangor menjadi lokasi utama pelancongan eko dan alam semula jadi dengan pelbagai tarikan sedia dikunjungi antaranya, Air Terjun Sungai Chiling di Kuala Kubu Bharu, Air terjun Serendah, Kolam Air Panas Hulu Tamu, Kolam Air Panas Kerling dan Sungai Inki Kalumpang.

Terdapat juga aktiviti sukan lasak seperti rakit redah jeram di Sungai Selangor, berbasikal mendaki bukit ke Bukit Fraser atau Genting Highland atau luncur angin di Kuala Kubu Bharu.

Bagi merancakkan semula aktiviti pelancongan selepas pandemik Covid-19, MPHS giat menganjurkan program pelancongan antaranya, Temasya Jalanan Kuala Kubu Bharu setiap Sabtu di Bandar Kuala Kubu Bharu.

Penganjuran program bertaraf antarabangsa seperti Hulu Selangor Ultra Trail 2022, Kuala Kubu Bharu International Paragliding Accuracy 2022 dan King Of Mountain 2022 kembali meletakkan Hulu Selangor di peta pelancongan antarabangsa.

Perbandaran untuk kemampanan

Bagi memastikan rancangan dan pemantauan aktiviti kemampanan dijalankan dengan baik, Jawatankuasa Pembangunan Mampan dan Bandar Selamat MPHS telah dijenamakan semula kepada Jawatankuasa Smart Mampan Daerah Hulu Selangor.

Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Yang Dipertua MPHS dan dianggotai oleh Ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor, jabatan serta agensi kerajaan yang akan merancang, memantau, mempromosi dan melaksanakan semua aktiviti berkaitan Sustainable Development Growth (SDG), Bandar Rendah Karbon, Bandar Selamat dan Smart City.

Mendepani cabaran perbandaran

MPHS telah merangka pelan pembangunan 15 tahun bermula 2020 sehingga 2035, berorientasikan ‘People-Centric’ dengan menetapkan sasaran 500,000 orang penduduk Hulu Selangor pada 2035.

Enam tema pembangunan ditetapkan bagi mencapai sasaran itu, sekali gus memenuhi keperluan kemudahan awam dan peluang pekerjaan penduduk, iaitu:

1. Pembangunan Sumber Semula Jadi & Warisan.

2. Persekitaran Komuniti Lestari.

3. Penerapan Konsep Pembangunan Pintar.

4. Sistem Perhubungan Jalan Raya & Infrastruktur Yang Efisien.

5. Penawaran Pakej Pelaburan Yang Menarik

6. Pembangunan Modal Insan Yang Efektif & Berdaya Saing.

Dalam tempoh perancangan ini, MPHS akan memastikan pembangunan yang lestari dan seimbang di antara wilayah selatan dan utara daerah Hulu Selangor.

MPHS akan memberi penekanan mengenai ekspektasi, keperluan dan kemudahan penduduk selaras dengan slogannya “Daripada Anda Untuk Anda”.