'Saya akan terus bersuara isu LCS walau diugut' - Syed Saddiq

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan beliau akan terus lantang bersuara berhubung isu pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) walaupun berdepan ugutan.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, beliau akan terus mempertahankan kebenaran demi kepentingan rakyat kerana projek itu melibatkan wang berbilion ringgit.

Dakwa Syed Saddiq, tidak wajar mereka yang sebelum ini memperjuangkan isu berkenaan kini berdiam diri setelah mendapat kuasa dan lebih malang lagi apabila ada antara individu itu mengancam untuk mengambil tindakan terhadap beliau kerana membangkitkan perkara itu di Parlimen.

"Jangan kita lupa suara rakyat apabila kita berada di takhta kuasa. Saya akan terus bersuara, nak ugut-ugutlah, ini babitkan duit rakyat berbilion ringgit.

"Saya berani kerana benar, ini isu kepentingan rakyat," katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, di sini pada Isnin.

Kata beliau, speaker Dewan Rakyat turut menolak usulnya bagi membahaskan isu LCS.

Menurutnya, isu tersebut berlarutan sejak sekian lama dan pada awalnya bernilai RM9 billion dan kini kosnya meningkat kepada lebih RM11 billion dengan pembinaan kapal dikurangkan.

Malahan, katanya, sehingga kini tiada tangkapan besar dilakukan oleh pihak berkuasa membabitkan skandal berkenaan.

"Saya ingin adakan perbahasan kerana isu ini penting. Isu ini amat besar dan mustahak.

"Tapi yang pelik apabila tiba-tiba nak ambil tindakan kepada saya kerana menyuarakan keresahan rakyat," ujarnya.