Bubar DUN: Selangor belum dapat perkenan Sultan Selangor

Amirudin berucap pada Majlis Penutup Program Selangor Mega Job Fair 2023 pada Ahad
Amirudin berucap pada Majlis Penutup Program Selangor Mega Job Fair 2023 pada Ahad
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah belum memberi sebarang perkenan berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program Selangor Mega Job Fair 2023 di sini pada Ahad.

Amirudin berkata, tarikh pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor hanya akan diumumkan selepas mendapat perkenan baginda.

"Mengenai pembubaran DUN ini sekali lagi ia adalah perkenan Tuanku jadi saya tidak hendak mendahului Tuanku atau pun mengumumkan sesuatu yang tidak mendapat perkenan lagi," katanya.

Pada Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan Amirudin menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang.

Amirudin menaiki kereta rasmi Menteri Besar jenis Toyota Camry dengan diiringi pasukan pengiring Polis Diraja Malaysia tiba di istana berkenaan kira-kira jam 5 petang.

Teka-teki tarikh pembubaran DUN Selangor juga bakal terjawab apabila pertemuan itu dipercayai bagi menyembah maklum tarikh pembubaran DUN bagi mendapat perkenan baginda.

Amirudin (tengah) turut melawat ke tapak pameran sempena Program Selangor Mega Jib Fair 2023.
Amirudin (tengah) turut melawat ke tapak pameran sempena Program Selangor Mega Jib Fair 2023.

Sementara itu, mengenai pengagihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional dalam menghadapi PRN pula, Amirudin memaklumkan perbincangan di peringkat negeri selesai walaupun terdapat kerusi belum dapat dimuktamadkan.

"Sekarang ini perbincangan saya rasa telah tamat dan kita hanya ada dalam satu, dua kerusi sahaja yang perlu kita muktamadkan dan itu kita serah kepada Pusat untuk menetapkannya.

"Kita serah kepada Presiden (Presiden PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim) atau kepada kepimpinan parti di peringkat atasan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutup program berkenaan.

Lebih 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi program Selangor Mega Job Fair 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Sabtu dan Ahad.

Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, lebih 100 majikan terdiri syarikat swasta dan kerajaan selain unit beruniform dan berkanun menyertai program kali ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Amirudin menghadap Sultan Selangor

'DUN Selangor bubar 23 hari dari sekarang' - MB Selangor

3 DUN Selangor jadi rebutan PH dan BN

Selangor tunggu perkenan Sultan untuk bubar DUN - MB

Selangor Job Fair tawar 10,000 peluang pekerjaan