Tuntutan Amanah Hulu Selangor tak bercanggah formula pembahagian kerusi

Tuntutan satu kerusi DUN untuk Amanah di Hulu Selangor tidak bercanggah dengan formula pembahagian kerusi Kerajaan Perpaduan. Gambar kecil: Abdul Mun'im
Tuntutan satu kerusi DUN untuk Amanah di Hulu Selangor tidak bercanggah dengan formula pembahagian kerusi Kerajaan Perpaduan. Gambar kecil: Abdul Mun'im
A
A
A

HULU SELANGOR - Tuntutan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Parti Amanah Negara (Amanah) di Hulu Selangor tidak bercanggah dengan formula pembahagian kerusi Kerajaan Perpaduan.

Ketua Pemuda Amanah Hulu Selangor, Abdul Mun'im Roslin berkata, tuntutan tersebut bukan pandangan peribadi sebaliknya adalah keputusan konsensus Jawatankuasa Pimpinan Amanah Hulu Selangor yang telah disampaikan beberapa kali kepada pimpinan negeri.

Menurutnya, Amanah Hulu Selangor mendesak keseimbangan agihan kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di setiap Parlimen dilaksanakan bagi memberi ruang Amanah berkhidmat kepada rakyat di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

"Merujuk kepada fakta, Parlimen Hulu Selangor mempunyai tiga kerusi DUN di mana PRU14 menyaksikan UMNO menang di Hulu Bernam Batang Kali (Bersatu) dan Kuala Kubu Baru diberikan kepada DAP sementara kerusi Parlimen Hulu Selangor pula ditandingi PKR.

"Bagi mengimbangi pembahagian kerusi secara praktikal, Amanah wajar mendapat satu kerusi di Hulu Selangor sama ada Batang Kali bagi menggantikan Bersatu sebelum ini atau penukaran setara untuk UMNO bertanding di Batang Kali dan Amanah di Hulu Bernam.

"Hal ini juga bertepatan dengan kefahaman semua pihak bahawa kerusi Batang Kali merupakan kerusi yang telah dimenangi PH (Bersatu) pada ketika PRU14," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Naib Presiden Amanah, Adly Zahari yang menganggap tuntutan satu kerusi di Hulu Selangor itu sebagai pandangan peribadi tidak mewakili kepimpinan parti tersebut.

Katanya, pembahagian seperti yang dicadangkan itu membolehkan semua parti di bawah PH-BN mempunyai kerusi di Hulu Selangor dan berperanan untuk memaksimumkan usaha memenangkan calon di DUN masing-masing.

"Pembahagian yang dicadangkan ini juga akan memperlihatkan keharmonian dan kesepaduan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan di samping menunjukkan komitmen semua mencapai keputusan menang-menang.

"Justeru tuntutan Amanah Hulu Selangor sebagai parti anggota dalam PH mempunyai asas dan sewajarnya pihak kepimpinan tertinggi tidak terpesong daripada fakta yang dikemukakan," katanya.