'Individu didakwa direkrut Mossad bukan ahli PKR'

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan dakwaan tular di sosial media yang menyatakan bahawa dua individu yang merupakan pasangan suami isteri dipercayai direkrut oleh ejen perisikan Israel, Mossad adalah ahli parti itu.

Perkara itu adalah Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil.

“Semalam (Selasa) tular di media sosial dakwaan bahawa dua individu yang ditahan itu merupakan anggota PKR atau ada kaitan dengan parti. Individu-individu tersebut didakwa punyai hubungan dengan Mossad.

“Saya sahkan bahawa dua individu tersebut bukan anggota mana-mana Cabang PKR dan tiada kaitan dengan parti.

“Berhubung gambar individu tersebut mengangkat bendera PKR atau gambar akaun Facebook dengan logo PKR sekitar 2018, ianya merupakan tindakan dan pilihan individu terbabit dan tidak ada kaitan sama sekali dengan parti,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Sebuah media tempatan pada Selasa melaporkan mengenai dakwaan kemasukan ejen daripada agensi perisikan negara Israel yang didakwa bertujuan menculik seorang warga Palestin.

Menurut laporan terbabit, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikatakan berjaya membongkar satu jaringan perisikan Israel, Mossad di Malaysia.

Perkara tersebut terbongkar apabila dua rakyat Malaysia dipercayai ditahan kerana dikatakan terbabit dalam kes penculikan warga Palestin dipercayai merupakan aset bernilai tinggi Briged Hamas al-Qassam pada akhir September lalu.

Artikel Berkaitan:

Laporan tersebut turut menyatakan seorang wanita tempatan berusia 30 tahun dipercayai dilatih sebagai penyiasat persendirian di Perancis sebelum direkrut oleh ejen Mossad sebelum tahun 2018 dan disyaki menjadi dalang kepada rangkaian perisikan Israel di dalam negara.

Susulan daripada itu, tular di sosial media dakwaan bahawa individu terbabit dalam kes tersebut merupakan penyokong PKR.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pada Selasa meminta orang ramai supaya tidak menimbulkan spekulasi berhubung penculikan seorang lelaki warga Palestin di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur, 28 September lalu.

Menurut beliau, kesemua 11 suspek terlibat telah dituduh dan siasatan lanjut sedang dijalankan sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 15 Disember.