Jangan buat spekulasi kes culik warga Palestin: PDRM

Acryl Sani. - Foto Bernama.
Acryl Sani. - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta orang ramai supaya tidak menimbulkan spekulasi berhubung penculikan seorang lelaki warga Palestin di Jalan Yap Kwan Seng, di sini 28 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kesemua 11 suspek terlibat telah dituduh dan siasatan lanjut sedang dijalankan sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 15 Disember.

"Kesemua 11 individu yang dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 14 Oktober merupakan suspek yang terlibat dalam kes penculikan seorang lelaki warga Palestin.

"Motif penculikan adalah bagi mendapatkan maklumat mengenai perisian untuk menggodam telefon bimbit," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada 5 Oktober Sinar Harian melaporkan, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berjaya menyelamatkan mangsa daripada tahanan penculik terbabit pada 29 September.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dilapor berkata, operasi dijalankan berjaya menahan 18 individu terdiri daripada lelaki dan wanita warga tempatan serta warga Indonesia.

Hasil siasatan mendapati, motif penculikan lelaki Palestin yang merupakan seorang ahli perniagaan itu dipercayai untuk memperolehi maklumat berkaitan penggodaman telefon bimbit.

Sementara itu, pada Selasa media tempatan melaporkan penculikan itu didalangi seorang wanita tempatan yang dipercayai mempunyai hubungan dengan badan perisikan Israel iaitu Mossad.

Artikel Berkaitan:

Laporan berkenaan mendakwa wanita berusia lingkungan 30-an berkenaan bertanggungjawab menguruskan rangkaian perisikan Mossad di Malaysia.