Ahli Parlimen BN tandatangan perjanjian kerusi milik parti

Ciapan Twitter Ahmad pada Ahad.
Ciapan Twitter Ahmad pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Semua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) telah menandatangani perjanjian sebelum menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bahawa kerusi yang ditandingi adalah milik parti.

Justeru, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (UMNO), Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan dakwaan ada ahli Parlimen daripada parti itu akan 'mengosongkan' kerusi tidak benar sama sekali.

"Ya, benar tiada MP (ahli Parlimen) BN yang mahu kosongkan kerusi. Lagi pun kami telah tandatangani perjanjian sebelum menjadi calon BN bahawa kerusi yang ditandingi adalah milik parti.

"Maka parti #UMNO #BN berhak membawa hala tuju yang kami perlu akur. Kini, bersama #KerajaanPerpaduan adalah pilihan," katanya menerusi ciapan di Twitter pada Ahad.

Pada Sabtu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan tiada ahli Parlimen BN yang akan meninggalkan parti.

Menurutnya, walaupun terdapat desas-desus mengenai 15 ahli Parlimen BN yang mahu meninggalkan kerajaan perpaduan tetapi perkara itu tidak berlaku.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Anwar berkata, bahawa komplot untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan tidak akan berjaya meskipun pihak terbabit mengakui mempunyai akuan bersumpah (SD) yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.

Beliau turut melahirkan keyakinan Kerajaan Perpaduan akan kekal sehingga habis penggal sambil meminta sekiranya PN mempunyai majoriti yang mencukupi, gabungan itu boleh membawanya ke sidang Dewan Rakyat akan datang.