'Tidak ada siapa boleh terlepas'

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub ketika sesi temu bual bersama Bernama Radio mengenai tajuk Rasuah 360: Impian Mr Rasuah Busters.
Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub ketika sesi temu bual bersama Bernama Radio mengenai tajuk Rasuah 360: Impian Mr Rasuah Busters.
A
A
A

SHAH ALAM - Proses perundangan negara telah membuktikan sistem kehakiman sedia ada adalah telus dan tidak memilih bulu.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, tidak ada siapa bersalah mampu terlepas daripada dikenakan hukuman biarpun dia sebelum ini merupakan seorang pemimpin tertinggi negara.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf berkata, sabitan kesalahan rasuah ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak setelah melalui proses pembicaraan di tiga peringkat mahkamah dengan tempoh masa lama adalah bukti ketelusan sistem kehakiman negara.

Kata beliau, meskipun kes berprofil tinggi tersebut memberi kesan negatif kepada negara, namun mesej yang mampu disampaikan adalah jelas iaitu tidak ada sesiapa yang boleh terlepas daripada dikenakan hukuman setimpal di atas kesalahan yang dilakukan.

"Pengajaran yang boleh diambil daripada kes ini, rasuah sebenarnya boleh diatasi dan ia bermula daripada diri sendiri.

"Perubahan bermula daripada kesedaran individu itu sendiri terhadap tanggungjawab masing-masing untuk melaksanakan tugas dengan jujur dan amanah.

"Apa yang perlu dibaiki juga adalah sistem nilai yang sudah rosak. Matlamat gerakan massa pasukan Rasuah Busters adalah mengembalikan sistem nilai tersebut di dalam masyarakat, seterusnya memutuskan rantaian rasuah di negara ini," katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika sesi temu bual bersama Bernama Radio mengenai tajuk Rasuah 360: Impian Mr Rasuah Busters.

Artikel Berkaitan:

Hussamuddin
Hussamuddin

Mengulas lanjut, Hussamuddin berkata, amalan rasuah menyebabkan kos pengurusan negara meningkat apabila berlakunya ketirisan dan perbuatan suapan kepada pihak-pihak terlibat agar tender kerajaan diperoleh.

Menurut beliau, perbuatan seumpama itu bukan sahaja merugikan kerajaan, malah menyebabkan hasil pelaksanaan projek yang dibuat demi kepentingan rakyat tidak mencapai mutu yang ditetapkan.

Oleh yang demikian tegas beliau, kesemua peniaga dan kontraktor harus jujur dalam perniagaan dijalankan dan percaya dengan rezeki ditentukan.

"Jangan cari jalan mencapai kekayaan dan kemewahan menerusi tindakan salah seperti memberi dan menerima rasuah kerana ia sebenarnya jalan kemusnahan," ujarnya.

Ditanya bagaimana tercetus idea dan bermulanya gerakan massa Rasuah Busters, Hussamuddin berkata, perkara tersebut dicetuskan oleh cucunya sendiri.

Katanya, menerusi syarikat akhbar yang dimiliki, usaha murni dan suara gelombang rakyat menolak rasuah boleh digunakan bagi memberi impak kepada masyarakat.

"Rasuah Busters adalah himpunan kawan-kawan saya daripada pelbagai latar belakang yang menggerakkan kempen besar-besaran menentang rasuah secara tersusun.

"Kita mahu memutuskan rantaian rasuah melibatkan pemberi dan penerima, selain menjadi kempen kesedaran agar semua orang berpegang pada nilai baik agama masing-masing," jelas beliau.