Rasuah Busters gesa Azam Baki lakukan reformasi SPRM

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

SHAH ALAM - Rasuah Busters menggesa Tan Sri Azam Baki untuk melakukan reformasi dengan berkolaborasi dan menerima pandangan serta kritikan membina daripada pemegang taruh, pakar dan masyarakat sivil demi merealisasikan hasrat sebuah #MalaysiaTanpaRasuah.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia #RasuahBusters Nurhayati Nordin berkata, perkara itu perlu dilakukan oleh Azam susulan pelantikan semula beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh setahun ke hadapan.

"Rasuah Busters mengalu-alukan iltizam pembanterasan rasuah di negara ini, yang disuarakan Azam susulan lantikan semula beliau. Pernyataan komitmen tersebut dilihat seiring dengan hasrat dan kerja keras oleh gabungan #RasuahBusters, masyarakat sivil dan pelbagai pihak yang mahukan amalan rasuah dan ketirisan di negara ini dapat dibendung sepenuhnya.

"Ini adalah masanya untuk Azam bersama SPRM merealisasikan tekad tersebut dalam tempoh satu tahun ke hadapan agar reformasi institusi dan legislatif yang dikemukakan dalam tuntutan-tuntutan #RasuahBusters segera dilaksanakan secara menyeluruh," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan pelantikan semula Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menerusi kenyataan pada Rabu memaklumkan, perkara itu selaras subseksyen 5(1) dan (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694].

Pelantikan itu adalah untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa 12 Mei 2023.

Azam memegang jawatan itu ketika pentadbiran tiga Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Nurhayati berkata, kebebasan SPRM melalui reformasi yang dicadangkan adalah penting bagi memastikan badan ini tidak dipengaruhi campur tangan eksekutif dan berupaya menjalankan mandat pendakwaan dengan telus dan efisien.

"Rasuah Busters dan gabungannya akan sentiasa memastikan segala janji dan komitmen adalah sejajar dengan tindakan agar aspirasi untuk memulihkan imej negara yang bersih daripada rasuah tercapai," tegasnya.