Rayuan lucut hak dana 1MDB didengar 7 Februari

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 7 Februari tahun depan untuk mendengar permohonan pendakwaan untuk melucut hak wang milik sembilan entiti termasuk UMNO dan wanita MCA yang didakwa mempunyai kaitan dengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MBD).

Tarikh itu ditetapkan susulan pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Siti Hajar Mustaffa pada Selasa.

Peguam Gooi Yang Shuh, yang mewakili Habib Jewels Sdn Bhd, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi.

Pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan pelucuthakan yang difailkannya terhadap Habib Jewels, Hattatex Trading, Wanita MCA, UMNO, Jawatankuasa Perhubungan UMNO Kedah serta empat individu, Perano Sdn Bhd, Binsabi Sdn Bhd dan K&Z Enterprise Sdn Bhd.

Mahkamah Rayuan turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan pendakwaan melucut hak wang yang dirampas daripada Jawatankuasa Perhubungan UMNO Pahang.

Pada 2 September tahun lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa tiada bukti yang mencukupi bagi memuaskan hati mahkamah bahawa wang yang dirampas adalah inti pati atau bukti berkaitan perlakuan kesalahan atau hasil aktiviti haram.

Mahkamah itu juga mendapati tiada perkaitan antara wang di dalam akaun responden dengan dana yang didakwa diseleweng daripada IMDB.

Pendakwaan memohon untuk melucut hak RM192,965,413.61 milik UMNO, RM300,000 milik Wanita MCA, RM337,634.78 dan RM827,250 masing-masing daripada Perano iaitu sebuah syarikat yang menjual tudung serta Binsabi yang membekalkan khemas, RM100,000 daripada Habib Jewels, RM138,359.60 daripada K&Z Enterprise, RM827,250 daripada Jawatankuasa Perhubungan UMNO Kedah dan RM111,590 daripada Hattatex Trading.

Ia mendakwa wang yang dirampas adalah inti pati atau bukti hasil aktiviti haram yang didakwa dilakukan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 serta Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. - Bernama.

Artikel Berkaitan: