Rayuan bekas ADUN Pulau Pinang didengar 8 November

Mahkamah Rayuan menetapkan 8 November depan untuk mendengar rayuan empat bekas ADUN Pulau Pinang bagi mencabar kesahan usul yang diluluskan oleh DUN agar mengosongkan kerusi mereka. - Gambar hiasan
Mahkamah Rayuan menetapkan 8 November depan untuk mendengar rayuan empat bekas ADUN Pulau Pinang bagi mencabar kesahan usul yang diluluskan oleh DUN agar mengosongkan kerusi mereka. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menetapkan 8 November depan untuk mendengar rayuan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (ADUN) bagi mencabar kesahan usul yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) agar mereka mengosongkan kerusi mereka.

Pengurusan kes bagi rayuan itu telah diadakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Radzilawatee Abdul Rahman yang menetapkan tarikh pendengaran tersebut.

Ketika dihubungi Bernama, peguam A.Surendra Ananth yang mewakili DUN Pulau Pinang dan Speaker Datuk Law Choo Kiang mengesahkan perkara itu.

Bekas ADUN Sungai Acheh Zulkifli Ibrahim, bekas ADUN Seberang Jaya Dr Afif Bahardin, bekas ADUN Bertam Khaliq Mehtab Ishaq dan bekas ADUN Telok Bahang Zolkifly Md Lazim telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang menolak saman mereka pada 20 Januari lepas.

Mereka memfailkan saman pada 2020 untuk mencabar kesahan Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dan untuk menghalang daripada kerusi mereka diisytiharkan kosong menurut Perkara 14A.

Pesuruhjaya Kehakiman Azizan Md Arshad memutuskan bahawa beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan bahawa Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah.

Perkara 14(A) Perlembagaan Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih sebagai calon parti politik telah menyertai parti politik lain.

Azizan juga memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh memberikan injunksi terhadap DUN dan Speaker untuk menghalang mereka daripada membincangkan usul memohon ADUN mengosongkan kerus mereka semasa persidangan DUN.

Beliau berkata mahkamah tidak boleh campur tangan dan tidak mempunyai kuasa terhadap pengurusan dalaman DUN. - Bernama