Sultan Nazrin zahir rasa dukacita

Sultan Nazrin bertitah pada Persidangan Dunia Pemikiran dan Tamadun Islam Ke-6 (WCIT 2022) di Pusat Konvensyen Meru Raya, Ipoh.
Sultan Nazrin bertitah pada Persidangan Dunia Pemikiran dan Tamadun Islam Ke-6 (WCIT 2022) di Pusat Konvensyen Meru Raya, Ipoh.
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa dukacita dan gusar dengan situasi semasa yang memperlihatkan konsep pelbagai budaya, kepelbagaian dan toleransi dijadikan alat senjata dalam perang budaya wacana politik di peringkat antarabangsa.

Baginda bertitah, tanpa kepelbagaian budaya, dunia menjadi semakin miskin dan rakyat serata dunia semakin hari semakin enggan berkongsi nilai kemanusiaan.

"Pada hemat saya, perubahan sikap yang mendalam terhadap kepelbagaian budaya merupakan suatu tragedi kerana ia menyemai benih-benih perpecahan dalam sesebuah negara sehingga membawa kepada pengusiran warga dan krisis pelarian.

"Pada masa sama, kitalah yang bakal kerugian apabila menolak dan menafikan kepelbagaian budaya.

"Saya yakin bukan saya sahaja yang berpendirian bahawa pencapaian pelbagai budaya kita amatlah penting kepada kemakmuran ekonomi dan pertumbuhan di masa akan datang," titahnya.

Baginda bertitah demikian pada Persidangan Dunia Pemikiran dan Tamadun Islam Ke-6 (WCIT 2022) di Pusat Konvensyen Meru Raya di sini pada Selasa.

Turut berangkat, Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Profesor Tan Sri Dr Nordin Kardi.

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin bertitah, laporan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) menganggarkan lebih ramai pelarian pada hari ini, dibandingkan semenjak Perang Dunia Kedua.

Titah baginda, banyak data dan pelbagai cara digunakan sebagai pengukur kepelbagaian budaya serta kesan daripada kewujudannya.

"Saya musykil sekiranya angka-angka ini adalah cara yang paling berkesan untuk memahami dan menyampaikan peri pentingnya nilai kepelbagaian budaya.

"Ini kerana saya percaya kita dapat merasakan manfaat kepelbagaian budaya dalam masyarakat bukan melalui angka dan statistik semata-mata, malahan melalui kisah-kisah sebenar, pengalaman dan perkongsian mengenai pertemuan sesama insan," titahnya.

Baginda percaya kehidupan akan lebih bermakna apabila menerima kepelbagaian dan perbezaan selain membuka pintu, hati dan minda kepada mereka yang amat memerlukan.

Persidangan bertemakan 'Berkongsi Nilai Kemanusiaan Kita' menampilkan beberapa tokoh pemikir dalam dan luar negara.

Persidangan antarabangsa kali ini mengetengahkan barisan pembentang yang tersohor termasuk Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia, Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus; Chargee d’affaires Kedutaan Perancis di Malaysia, Virginie Bioteau, Chargee d’affaires Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia, Timo Goosmann dan Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Republik Indonesia, Dr Sandiaga Salahuddin Uno.