Nahas dua rentung: Pemandu lori direman empat hari

Bomba cuba memadamkan kebakaean yang berlaku pada kemalangan berkenaan. - Bomba Johor
Bomba cuba memadamkan kebakaean yang berlaku pada kemalangan berkenaan. - Bomba Johor
A
A
A

KULAI - Pemandu lori yang disyaki menjadi punca kemalangan melibatkan lima kenderaan dan mengakibatkan dua mangsa rentung di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dekat sini pada Sabtu direman empat hari.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, pemandu lori berusia 37 tahun dari Shah Alam, Selangor itu direman selama empat hari mulai Isnin.



"Kita sudah menahannya semalam (Ahad) dan sudah mendapatkan permohonan reman selama empat hari bermula hari ini terhadapnya.

"Permohonan reman ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap pemandu berkenaan.

"Selain itu seperti yang diberitahu semalam (Ahad), kita turut memanggil empat individu lain yang terlibat dalam kemalangan ngeri berkenaan bagi memberikan keterangan," katanya pada Isnin.

Dalam kemalangan Sabtu lalu, dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan kepala sebelum rentung dalam kenderaan yang dinaiki.

Kemalangan berkenaan turut tular di media sosial memaparkan salah sebuah kereta terbakar dengan seorang lelaki meraung memaklumkan isterinya berada dalam kenderaan berkenaan.

Berdasarkan siasatan awal, kemalangan disyaki berpunca akibat pemandu lori berkenaan dari arah Ayer Hitam ke Johor Bahru memandu di lorong kiri jalan telah dilanggar dari belakang oleh pemandu kereta jenis Proton Preve yang datang dari arah sama.

Artikel Berkaitan:

Proton Preve berkenaan kemudiannya telah dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta Proton Wira yang kemudiannya turut dilanggar oleh sebuah lagi kereta (jenis tidak pasti).

Sebuah lori kemudiannya telah merempuh Proton Wira berkenaan termasuk kereta yang tidak dikenal pasti hingga menyebabkan kedua-dua kenderaan tersebut terbakar.

Untuk rekod, jenazah penumpang kereta wira berkenaan, Nurul Nazihah Kamalul Arifin, 28, yang maut dalam kemalangan ngeri berkenaan, telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin Lama, Kota Tinggi, kira-kira 3.40 petang Ahad, manakala seorang lagi mangsa yang meninggal dunia masih belum dikenal pasti.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.