Bapa longlai lihat video tular kereta dinaiki Azi terbakar

Sebahagian ahli keluarga Allahyarhamah Nurul Nazihah Kamalul Arifin yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah yang maut dalam kemalangan. - Foto Bernama
Sebahagian ahli keluarga Allahyarhamah Nurul Nazihah Kamalul Arifin yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah yang maut dalam kemalangan. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA TINGGI - Bapa kepada Nurul Nazihah Kamalul Arifin, 28, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara- Selatan arah selatan pada malam Sabtu tidak dapat menahan sebak tatkala melihat video tular mengenai insiden itu.

Kamalul Arifin, 66, sedih sebaik dimaklumkan mengenai kemalangan menimpa anak keempat daripada lima beradik yang mesra dipanggil Azi itu.

"Hati saya luluh apabila dimaklumkan Azi maut terperangkap dalam kereta yang terbakar. Apabila dimaklumkan Azi dan suami terbabit kemalangan, kami sekeluarga menyangkakan kemalangan biasa.

"Namun apabila ahli keluarga menunjukkan video tular kereta dinaiki Azi marak terbakar, lemah longlai badan saya, begitu juga dengan isteri, Saliah Hood, 56, yang cukup sedih," katanya di Kampung Lukut.

Kamalul Arifin (kanan) bersama ahli keluarganya tidak dapat menahan sebak sebaik menerima berita kematian anaknya.
Kamalul Arifin (kanan) bersama ahli keluarganya tidak dapat menahan sebak sebaik menerima berita kematian anaknya.

Video berdurasi satu minit 37 saat itu memperlihatkan suami Azi memanggilnya dan menyatakan tidak akan meninggalkan dia.

Dalam kemalangan ngeri kira-kira jam 7.45 malam Sabtu itu, dua individu maut dalam kenderaan yang marak terbakar selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan membabitkan empat kenderaan.

Ketika kejadian, Nurul Nazihah dipercayai tersepit di tempat duduk penumpang hadapan sementara suaminya berjaya ditarik keluar dari kereta oleh orang awam.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, identiti seorang lagi mangsa dari kereta berasingan masih belum dapat dikenal pasti.

Menurut Kamalul Arifin, dia bersama isteri, Azi dan suaminya baharu pulang dari Tanah Suci kerana menunaikan umrah pada Rabu lalu.

"Sebenarnya saya, isteri, Azi dan suaminya baharu pulang dari menunaikan umrah Rabu lalu. Itulah juga impian Azi kerana mahu berdoa bagi mendapatkan cahaya mata selepas tiga tahun berkahwin.

"Azi sangat gembira ketika di Makkah dan sempat membeli buah zuriat sebagai usaha mendapatkan anak," katanya.