Nurul Nazihah sempat capai hasrat tunai umrah

Kamalul Arifin Ahmad, 66, tidak dapat menahan sebak ketika ditemui pengamal media di rumahnya di Kampung Lukut hari ini. - Foto Bernama
Kamalul Arifin Ahmad, 66, tidak dapat menahan sebak ketika ditemui pengamal media di rumahnya di Kampung Lukut hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA TINGGI - Nurul Nazihah Kamalul Arifin yang maut dalam kemalangan di Kilometer 45.7 Lebuh Raya Utara Selatan malam tadi, baru kembali daripada menunaikan umrah bersama suami dan ibu bapanya minggu lepas.

Bapa Allahyarham, Kamalul Arifin Ahmad, 66, yang masih terkejut dengan pemergian anak keempatnya itu, berkata, arwah merancang untuk turut pergi menunaikan ibadah itu setelah mengetahui hasratnya dan isteri Saliah Hood, 56, yang mahu ke Tanah Suci.

"Rasanya empat hingga lima bulan juga dia dan ibunya merancang serta menguruskan perjalanan umrah kami. Baru kini kami dapat pergi memandangkan arwah pun baru tiga tahun bekerja di sebuah kilang di Pasir Gudang.

"Alhamdulillah impian dia nak pergi umrah tercapai. Ketika di Tanah Suci, arwah dan suaminya paling muda jadi merekalah yang banyak membantu kami semua. Dia pun ke Tanah Suci sebagai ikhtiar dan berdoa untuk dapatkan zuriat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lukut, dekat sini hari ini.

Menurutnya lagi, Nurul Nazihah, 28, baru sahaja kembali bekerja dua hari lepas dan ada memaklumkan untuk balik ke rumahnya (Kamalul) minggu depan.

Kamalul berkata, meskipun sedih dengan pemergiaan anaknya itu, dia reda apatah lagi apabila diberitahu jasad anaknya ditemui sempurna, seolah-olah sedang duduk antara dua sujud.

"Apabila dimaklumkan oleh ahli keluarga bahawa keadaan jasad arwah masih sempurna, saya rasa syukur dan yakin ini mungkin berkat amalannya ketika hidup yang sangat tegas dalam bab agama," katanya sambil menyifatkan anaknya itu seorang yang ceria dan penyayang.

Sementara itu, sepupu kepada suami mangsa, Nurizzah Atikah Jamaluddin, 28, berkata, suami mangsa, Redzuan Jamil masih trauma dengan kejadian yang berlaku sehingga mengigau bertanya tentang isterinya malam tadi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sepupunya itu ada bercerita bahawa ketika kejadian dia berusaha menyelamatkan Nurul Nazihah atau lebih mesra dipanggil Azi, yang tersepit tetapi gagal sehingga orang awam bertindak menyelamatkan Redzuan melalui pintu belakang kereta.

Suami Nurul Nazihah, Redzuan Jamil, 28, yang juga merupakan mangsa kemalangan ketika ditemui pengamal media di rumahnya di Kampung Lukut hari ini. - Foto Bernama
Suami Nurul Nazihah, Redzuan Jamil, 28, yang juga merupakan mangsa kemalangan ketika ditemui pengamal media di rumahnya di Kampung Lukut hari ini. - Foto Bernama

"Saya memang tak sangka sebab Azi seorang yang periang, kelakar dan suka ambil gambar atau video," katanya.

Terdahulu, tinjauan di rumah keluarga mangsa di Kampung Lukut mendapati ia dipenuhi dengan ahli keluarga, sahabat handai dan jiran yang menunggu ketibaan jenazah Allahyarham dalam suasana hiba.

Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin Lama, dekat sini sebaik sahaja jenazah tiba dan disembahyangkan.

Terdahulu, dua individu dilaporkan rentung manakala empat terselamat dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan berdekatan Sedenak pada 7.47 malam tadi.

Nurul Nazihah ditemukan tersepit dalam Proton Wira manakala seorang lagi adalah mangsa dalam Toyota Vios tetapi belum dikenal pasti identitinya. - Bernama