Tiga lelaki ditahan bersama dadah hampir RM1 juta

Antara dadah dan peralatan yang dirampas daripada ketiga-tiga suspek. Gambar kecil: Azizee
Antara dadah dan peralatan yang dirampas daripada ketiga-tiga suspek. Gambar kecil: Azizee
A
A
A

GEORGE TOWN – Taktik licik sebuah sindiket memproses dan menyimpan dadah terbongkar apabila tiga lelaki tempatan diberkas dalam operasi bersepadu oleh Polis Pulau Pinang dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah kira-kira RM1.17 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, serbuan bermula jam 9 pagi pada 20 Februari hingga 8 pagi 21 Februari lalu itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang di Seberang Perai Utara (SPU) dan Barat Daya.

Menurutnya, tiga suspek berusia antara 37 hingga 58 tahun ditahan kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti memproses serta menyimpan dadah jenis syabu dan heroin sejak Disember 2025.

“Dalam serbuan pertama di Teluk Air Tawar, SPU, polis menahan seorang lelaki di hadapan sebuah kediaman sebelum menemui sejumlah heroin dan syabu yang disimpan dalam beberapa beg berasingan.

“Rampasan melibatkan heroin seberat 910 gram dan 4,090 gram serta syabu seberat 10,332 gram,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, dalam serbuan kedua di kawasan Bayan Lepas, daerah Barat Daya, seorang lagi lelaki diberkas sebelum polis menemukan 3,032 gram heroin bersama bahan campuran seperti kafein seberat 18,500 gram, serbuk penaik 2,032 gram serta pelbagai cecair kimia dan peralatan memproses dadah.

“Serbuan ketiga pula membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki yang dipercayai ahli sindiket, juga di kawasan Bayan Lepas.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM925,000 dan dianggarkan boleh digunakan kira-kira 70,000 kali,” ujarnya.

Beliau menambah, ketiga-tiga suspek tidak mempunyai pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah, namun seorang daripadanya mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah.

“Selain rampasan dadah, polis turut menyita pelbagai aset iaitu tiga kenderaan, Honda Accord, Honda City dan Perodua Myvi; sebuah motosikal Yamaha; barangan kemas serta wang tunai dengan nilai keseluruhan RM245,000,” katanya lagi.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

“Kejayaan ini hasil risikan berterusan JSJN serta kerjasama orang awam dan menjadi amaran bahawa polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menyalurkannya melalui talian hotline JSJN di 012-2087 222,” tambah beliau.

Ringkasan AI

  • Sindiket dadah terbongkar dengan penangkapan tiga lelaki tempatan oleh Polis Pulau Pinang
  • Operasi menghasilkan rampasan dadah syabu dan heroin bernilai kira-kira RM1.17 juta
  • Tiga suspek yang berusia antara 37 hingga 58 tahun didakwa terlibat sejak Disember 2025
  • Rampasan termasuk dadah yang dianggar boleh digunakan sebanyak 70,000 kali
  • Penyiasatan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!