Cermin kereta Teresa Kok dipecah, beg tangan disamun

Teresa membuat laporan di Balai Polis TTDI selepas cermin kereta dipecah di Taman Persekutuan Bukit Kiara pada Ahad.
Teresa membuat laporan di Balai Polis TTDI selepas cermin kereta dipecah di Taman Persekutuan Bukit Kiara pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR – [KEMAS KINI] Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok kerugian kira-kira RM6,500 selepas cermin kenderaannya dipercayai dipecahkan dan beg tangan disamun ketika beliau berjoging di Taman Persekutuan Bukit Kiara pada Ahad.

Teresa berkata, kejadian itu disedari kira-kira jam 7 malam apabila beliau kembali ke kenderaannya yang diparkir di kawasan berkenaan sekitar jam 6.15 petang.

“Saya mendapati cermin tingkap bahagian penumpang hadapan kenderaan telah dipecahkan dan beg tangan yang diletakkan di ruang kaki tempat duduk tersebut hilang.

“Beg tangan itu mengandungi wang tunai termasuk wang angpau, selain kad pengenalan, kad kredit, telefon bimbit dan beberapa dokumen penting lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Teresa berkata, susulan kejadian itu beliau membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail.

“Pegawai polis yang bertugas mengendalikan laporan saya dengan sangat profesional, kemudian Pegawai Penyiasat datang untuk mengambil kenyataan saya.

“Unit forensik juga tiba tidak lama kemudian untuk mengambil gambar serta kesan cap jari pada kenderaan. Saya meninggalkan balai polis kira-kira jam 9.30 malam,” katanya.

Dalam pada itu, Teresa berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat mempertimbangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan parkir taman berkenaan bagi membantu siasatan polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintenden Ahmad Firdaus Mustafa Kamal ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada Teresa pada jam 7.49 malam.

Artikel Berkaitan:

“Pengadu parkir keretanya di petak parkir dalam keadaan berkunci. Setelah selesai bersenam, Teresa menyedari kejadian itu,” katanya.

Ahmad Firdaus berkata, pihaknya menemui tiga cap jari pada kereta pengadu dan ia telah dihantar ke Bahagian Identifikasi Forensik (BIOFIS) Bukit Aman bagi mengenal pasti suspek yang terlibat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ringkasan AI

  • Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, mengalami kerugian kira-kira RM2000 akibat kenderaan dipercayai dipecah masuk
  • Kejadian berlaku ketika Teresa Kok berjoging di Taman Persekutuan Bukit Kiara
  • Cermin tingkap bahagian penumpang hadapan kenderaannya dipecahkan
  • Kehilangan meliputi wang tunai, kad pengenalan, kad kredit, dan dokumen penting
  • Teresa Kok membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail dan mendesak pemasangan CCTV di kawasan parkir

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!