Keluarga rayu orang ramai bantu kesan Muhammad Saifuddin

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 51 tahun dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari Zon Kuning Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 29 Januari lalu.
Anaknya, Nuramira Syuhada berkata, bapanya, Muhammad Saifuddin Jiket, kali terakhir dilihat kira-kira jam 3 pagi dalam keadaan berbaju hospital berwarna biru cair sambil memegang sehelai baju putih berlogo tulisan merah serta memakai seluar berwarna kelabu.
“Bapa ketika itu berada di Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan sebelum disedari tiada di wad. Dia dipercayai keluar seorang diri tanpa membawa telefon bimbit mahupun dompet,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Nuramira Syuhada berkata, bapanya menghidap jangkitan pada lapisan otak yang menyebabkan dia mengalami masalah ingatan.
“Selain itu, dia juga menghidap gout sehingga berlaku jangkitan dan bengkak pada bahagian kaki,” katanya.
Wanita itu berkata, laporan polis telah dibuat dan pihak keluarga kini amat bimbang akan keselamatan lelaki tersebut memandangkan keadaan kesihatannya yang memerlukan pemantauan rapi.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kehilangan Muhammad Saifuddin diminta menghubungi Mira di talian 011-27414317 bagi membantu usaha pencarian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam mengesahkan menerima laporan kehilangan Muhammad Saifuddin kira-kira jam 2.57 petang pada hari yang sama.
Ringkasan AI
- Lelaki berusia 51 tahun hilang selepas keluar dari Hospital Kuala Lumpur pada 29 Januari
- Kali terakhir dilihat memakai baju hospital biru cair dan memegang baju putih berlogo merah
- Menghidap jangkitan pada lapisan otak dan Gout yang menyebabkan masalah ingatan dan bengkak kaki
- Laporan polis telah dibuat, keluarga bimbang keselamatan
- Orang ramai diminta bantu carian dengan menghubungi Mira di talian 011-27414317
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
