[VIDEO] PRU15: UMNO Kedah kecewa Pas pilih Bersatu

Othman (dua dari kanan) menyampaikan hamper kepada penduduk yang menyertai kejohanan anjuran PDM Putat di Jerlun pada Jumaat.
Othman (dua dari kanan) menyampaikan hamper kepada penduduk yang menyertai kejohanan anjuran PDM Putat di Jerlun pada Jumaat.
A
A
A

JERLUN - [DIKEMAS KINI] UMNO Kedah mengakui kecewa dengan keputusan Pas Pusat yang meneruskan kerjasama politik bersama Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusinya, Datuk Othman Aziz berkata, kini UMNO tidak lagi mempunyai pilihan selain menganggap Pas sebagai lawan di pentas PRU kali ini kerana memilih Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Walau bagaimanapun, beliau melihat masih ramai yang mahu kerjasama Muafakat Nasional (MN) diteruskan pada masa hadapan kerana melibatkan kepentingan agama Islam dan juga orang Melayu.

"Pada PRU15 kali ini, jika di satu kerusi ditandingi UMNO dan Pas, maka secara tidak langsung kedua-dua parti akan jadi musuh.

"Cuma kita masih berdoa agar penyatuan ummah ini dapat dibuat pada masa depan," katanya ketika sidang akhbar selepas hadir Majlis Sarapan Pagi Bersama Pengundi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Putat, Jerlun dekat sini pada Jumaat.

Menurut Othman, PN telah dianggap lawan oleh UMNO kerana Bersatu sebelum ini mahu 'membunuh' parti tersebut.

"Apabila Pas buat keputusan bersama mereka, mahu tidak mahu kita tiada pilihan, UMNO terpaksa berhadapan dengan mereka.

"Saya tegaskan bahawa tidak jadinya penyatuan MN bukan kerana UMNO, tetapi tindak-tanduk pemimpin Pas di Pusat dan negeri yang sentiasa mengeluarkan kenyataan sensitif selain tidak menjaga hati kawan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas peletakan jawatan Datuk Suraya Yaacob sebagai Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, dan Tenaga negeri pada Khamis, Othman berkata, keputusan itu dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang itu sendiri.

Tambah beliau, keputusan Suraya disokong UMNO Kedah kerana secara moralnya Pas juga turut mengisytiharkan bahawa tiada kerjasama bersama MN pada Khamis dan peletakan jawatan tersebut tidak menjejaskan kedudukan kerajaan Kedah.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan Khamis telah membuat ketetapan untuk terus memperkukuhkan kerjasama dalam PN untuk menghadapi PRU15.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu turut mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Terengganu dan Kedah.