ADUN Sungai Tiang letak jawatan Exco Kedah serta-merta

Suraya
Suraya
A
A
A

SUNGAI PETANI - [DIKEMAS KINI] Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob mengumumkan peletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah berkuatkuasa serta-merta.

Suraya yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, dan Tenaga negeri sejak empat penggal pada 2004, mengumumkan peletakkan jawatan melalui satu kenyataan yang diedarkan kepada media sebaik selesai mesyuarat exco di diadakan di Kompleks Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, pada Khamis.

Melalui kenyataan tersebut, beliau merakamkan penghargaan kepada barisan exco serta kepimpinan kerajaan negeri Kedah, semua jabatan dan agensi kerajaan yang selama ini memberikan kerjasama erat bagi memastikan pelaksanaan dasar kerajaan negeri direalisasikan.

Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah atas perkenan Tuanku melantik saya ke jawatan berkenaan.

"Setinggi penghargaan juga kepada barisan rakan exco serta kepimpinan Kerajaan Negeri Kedah, semua jabatan dan agensi kerajaan, khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), Syarikat Air Darulaman (SADA), Tenaga Nasional Berhad (TNS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), para NGO, individu dan seluruh rakyat negeri Kedah, yang selama ini memberikan kerjasama erat bagi memastikan pelaksanaan dasar kerajaan negeri bawah bidang portfolio saya dapat direalisasikan sebaik mungkin.

"Berjiwa besar, pastinya saya tidak akan lupa pada segala cabaran dan pengalaman membantu penyelarasan mempercepatkan projek menaiktaraf lima Loji Rawatan Air (LRA) yang tertangguh akibat dihentikan kerajaan negeri terdahulu, menyaksikan terimaan manfaat bernilai RM2.62 bilion atas penstrukturan semula industri air negeri Kedah, meliputi penghapusan hutang RM1.82 bilion dan selebihnya bagi kos membina dua buah LRA baharu di Sidam Kiri dan Kodiang, " katanya melalui kenyataan tersebut.

Jelas Suraya, antara pengalaman berharga beliau pada penggal ini adalah membantu menyediakan sumber air tambahan buat rakyat Kedah melibatkan dua Takungan Air Pinggiran Sungai TAPS (ORS 7 dan 9) untuk dibangunkan bagi kegunaan menakung air lebihan yang melimpah ruah ketika musim tengkujuh untuk kegunaan ketika musim kemarau.

"Paling mencabar, sudah tentu saya dan rakan bertungkus-lumus menghadapi cabaran bencana banjir kepala air di daerah Yan dan Baling, tragedi ban pecah di Sungai Santap dan krisis air pada kemarau 2021.

Artikel Berkaitan:

"Namun Alhamdulillah, berkat kesabaran, keikhlasan dan jati diri selaku anak jati Kedah, saya yakin diri ini telah memberikan sepenuh komitmen dan bekerja keras sedaya mungkin sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah, sebagaimana yang diamanahkan kerajaan negeri dan rakyat negeri Kedah," katanya.

Bagaimanapun, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan ulasan dari Suraya tidak berhasil apabila beliau bergegas terlebih dahulu meninggalkan Kompleks MPSPK sebelum didekati media.