PRU15: Bersatu hargai ketetapan Pas perkukuh kerjasama PN

Hamzah
Hamzah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bersatu menghargai ketetapan Pas untuk terus memperkukuhkan kerjasama bersama Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Bersatu menyambut baik dan menghargai ketetapan Pas,” kata Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat sempena mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu semalam bagi memuktamadkan hala tuju kerjasama politik dan persediaan menghadapi PRU15.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Khamis berkata, Pas membuat keputusan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam PN atas prinsip penyatuan ummah.

Susulan keputusan Pas itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata,UMNO dan BN memutuskan untuk bergerak secara solo bagi menghadapi PRU15.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan meletakkan tiga syarat untuk dipenuhi Pas sebelum UMNO kembali berunding dengan Pas iaitu perlu keluar daripada PN, memutuskan hubungan politik dengan Bersatu serta mengisytiharkan secara rasmi bahawa parti itu ‘mufarakah’ atau berpisah sepenuhnya dengan PN dan Bersatu.

Hamzah dalam kenyataan pada Jumaat berkata, Bersatu memberi komitmen untuk memantapkan serta memperhebat gerak kerja jentera bersama parti-parti komponen PN bagi memastikan kejayaan dalam PRU15.

Selain Bersatu, parti komponen PN terdiri daripada Pas, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Hamzah berkata, mesyuarat turut membincangkan cadangan serta maklum balas berkaitan manifesto PRU15 PN yang dirangka Jawatankuasa Manifesto PN yang dipengerusikan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin. - Bernama