Dua lelaki ditahan curi kabel telekomunikasi

Fakhrudin (tengah) menunjukkan kabel utama yang dicuri suspek berkenaan.
Fakhrudin (tengah) menunjukkan kabel utama yang dicuri suspek berkenaan.
A
A
A

PETALING JAYA - Dua lelaki yang menyamar sebagai kontraktor ditahan kerana disyaki mencuri kabel utama telekomunikasi selepas gagal melarikan diri semasa diserbu polis di sekitar Kelana Jaya, di sini pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis menerima laporan awam berhubung kehadiran suspek yang mencurigakan sekitar jam 5 pagi.

"Bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Balai Kelana Jaya telah pergi ke lokasi untuk pemeriksaan mendapati sekumpulan lelaki sedang melakukan kegiatan mencuri kabel utama milik sebuah syarikat telekomunikasi.

"Suspek cuba melarikan diri namun polis berjaya menahan salah seorang suspek berusia 24 tahun berdekatan tempat kejadian manakala rakan suspek berusia 43 tahun melarikan diri dengan memandu sebuah lori," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini pada Khamis.

Fakhrudin berkata, suspek berkenaan berjaya dikesan ketika sedang bersembunyi di dalam longkang selepas lori dipandunya melanggar sebuah kenderaan lain semasa cuba melarikan diri.

Katanya, hasil pemeriksaan polis merampas sebuah lori, vest hijau (tiga), mesin pemotong (tiga), kon keselamatan (sembilan), tukul besi (dua), kabel utama (100 meter), papan tanda penunjuk arah (dua), kad pengenalan individu lain (dua) dan beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel.

"Suspek menyamar sebagai kontraktor dan mempunyai semua peralatan seperti kon keselamatan, papan tanda 'kerja-kerja di hadapan' untuk mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek kedua berusia 43 tahun mempunyai empat rekod jenayah lampau manakala suspek pertama tiada rekod.

Artikel Berkaitan:

"Suspek direman empat hari bermula Selasa untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 378 Kanun Keseksaan (mencuri), Seksyen 431A Kanun Keseksaan (khianat), dan Seksyen 25(1)(n) Akta Pendaftaran Negara 1959," ujar beliau.