Kes buli jalan raya, dua lelaki ditahan

Laporan Sinar Harian sebelum ini mengenai kejadian tersebut.
Laporan Sinar Harian sebelum ini mengenai kejadian tersebut.
A
A
A

PORT DICKSON - Polis menahan dua lelaki selepas dipercayai terlibat dalam satu kejadian aksi buli jalanan di Kilometer 20.9, Lebuhraya Seremban-Port Dickson dari Teluk Kemang menghala ke Seremban di sini pada 28 April lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, video kejadian berdurasi sembilan saat itu turut tular di media sosial selepas terkesan melalui aplikasi Facebook oleh pemilik akaun ‘azamaziz’.

Menurutnya, susulan daripada itu, polis Port Dickson telah melaksanakan tangkapan terhadap dua lelaki.

"Ia bersabit siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu dengan gopoh di jalan awam.

"Kertas siasatan selari juga dibuka di bawah kesalahan trafik iaitu seksyen 336 Kanun Keseksaan, seksyen 26, 42, 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan juga Kaedah 50 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujarnya, kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan tuduh ke atas salah seorang suspek iaitu seorang lelaki berusia 23 tahun telah diperoleh.

“Suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini (Rabu) di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu dengan gopoh di jalan awam dan Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tidak memiliki lesen memandu yang sah,” katanya.

Dalam pada itu, Aidi Sham turut menasihatkan orang awam agar tidak mencetuskan kegusaran awam dengan menularkan video tersebut lagi serta meninggalkan komen-komen yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“Perbuatan penyebaran yang tidak bertanggungjawab sedemikian adalah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pihak polis memohon kepada pemilik akaun Facebook, pemandu dan penumpang kedua-dua buah kenderaan yang terlibat dengan kejadian tersebut termasuk saksi yang melihat kejadian supaya hadir ke Balai Polis Trafik Port Dickson bagi membantu siasatan.