Tiga termasuk dua pelajar ditahan curi motosikal

Rahmat (tengah) menunjukkan tiga motosikal yang dirampas daripada tiga lelaki, selepas mengadakan sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri, pada Isnin.
Rahmat (tengah) menunjukkan tiga motosikal yang dirampas daripada tiga lelaki, selepas mengadakan sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri, pada Isnin.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Gara-gara mahu bergaya dengan motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri, tiga lelaki termasuk dua remaja diberkas polis minggu lalu kerana terlibat mencuri motosikal termasuk milik seorang anggota polis.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, mereka yang berusia 14, 17 dan 21 tahun itu ditahan sekitar kawasan Kangkar Pulai, di sini pada jam 7.50 malam, 1 Mei lalu.

"Pihak polis sebelum ini menerima laporan daripada pengadu yang juga seorang anggota polis mendakwa motosikalnya yang di parkir di bawah rumah dekat Pangsapuri Merak, Bandar Baru Kangkar Pulai, jam 5 petang, 18 April lalu hilang.

"Bertindak atas maklumat, kita berjaya menahan seorang suspek sebelum membuat satu lagi serbuan dan menahan suspek kedua bersama tiga motosikal.

"Hasil soal siasat awal daripada suspek pertama, pihaknya berjaya menahan suspek ketiga. Selain tiga motosikal jenis Honda EX5, kita turut merampas dua kunci motosikal," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini pada Isnin.

Rahmat menunjukkan peralatan pecah rumah, selepas mengadakan sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri, pada Isnin.
Rahmat menunjukkan peralatan pecah rumah, selepas mengadakan sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri, pada Isnin.

Menurutnya, suspek dipercayai bergiat aktif sejak bulan lalu dan menyasarkan motosikal jenis Honda EX5 yang diletakkan di tempat letak motosikal di bawah blok pangsapuri dan di kawasan masjid untuk kegunaan sendiri semasa perayaan Aidilfitri.

"Ketiga-tiga suspek termasuk dua remaja yang masih bersekolah itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif dadah menerusi ujian saringan awal air kencing.

"Mereka kini ditahan reman sehingga Rabu ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, tiga lelaki termasuk pasangan kekasih ditahan selepas terlibat kes pecah rumah tukang masak di Singapura di Taman Bukit Indah di sini, minggu lalu.

Katanya, bertindak atas maklumat, pihaknya melakukan dua serbuan di kawasan Tampoi dan Larkin, Johor Bahru kira-kira jam 8.30 pagi Sabtu sebelum menahan semua suspek.

"Polis berjaya merampas tiga kereta dan pelbagai barangan berharga lain termasuk tiga telefon bimbit, tabung mengandungi pelbagai jenis mata wang asing serta duit syiling, tujuh jam tangan, tiga beg, tiga topeng muka dan kepala, sarung tangan, barangan kemas, dua 'allen key' diubah suai, dua anak kunci diubah suai dan komputer riba.

"Selain itu, peralatan dipercayai digunakan untuk pecah rumah dan tiga kereta turut dirampas dan semua rampasan dianggarkan bernilai RM300,000," katanya.

Tambah Rahmat, hasil semakan dua daripada kereta diramaps mempunyai rekod hilang dalam kes pecah rumah, manakala sebuah lagi dipercayai kenderaan digunakan suspek ketika melakukan jenayah itu.

"Suspek pertama dan kedua yang juga pasangan kekasih berusia 29 dan 31 tahun mempunyai rekod jenayah lampau dan positif methamphetamine, manakala suspek ketiga berusia 36 tahun mempunyai 10 rekod jenayah lampau dan dadah, namun ujian saringan awal air kencingnya negatif.

"Mereka kini ditahan reman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.