Kes denggi di Kedah meningkat 133.3 peratus

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

ALOR SETAR - Kes denggi di Kedah meningkat sebanyak 133.3 peratus setakat 8 Oktober lepas apabila merekodkan 952 kes berbanding 408 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Othman Warijo berkata, dua kematian dicatatkan akibat denggi setakat ini manakala bilangan wabak meningkat kepada 77 kes berbanding 15 kes bagi tempoh sama pada 2021.

"...daripada jumlah wabak yang dilaporkan itu, terdapat lima ‘hotspot’ yang telah berjaya dikawal, tiga wabak masih aktif manakala 69 wabak telah tamat.

"Menerusi analisis Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, peningkatan ketara kes denggi di Kedah bermula sejak minggu epid (ME) ke-35 iaitu pada 28 Ogos hingga 3 September di tiga daerah iaitu Langkawi, Kota Setar dan Kubang Pasu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, antara mukim yang paling banyak dilaporkan terdapat kes denggi adalah di Kuah dan Ulu Melaka di daerah Langkawi; Mergong, Kuala Kedah, Derga, Alor Malai, Kota Setar, Pengkalan Kundur dan Teluk Cengai (Kota Setar) selain di Naga dan Jitra (Kubang Pasu).

"Aktiviti kawalan dan pencegahan dijalankan bagi kesemua kes dan wabak denggi yang dilaporkan di semua lokaliti bagi memutuskan rantaian jangkitan. Antara aktiviti kawalan vektor yang dilakukan melibatkan pemeriksaan premis, semburan kabus dan penghapusan tempat pembiakan nyamuk.

Artikel Berkaitan:

"Bermula 1 Januari hingga 8 Oktober lepas, sebanyak 266,420 premis telah diperiksa dan sebanyak 4,972 kompaun dengan nilai lebih RM2.3 juta telah dikeluarkan kepada pemilik premis yang terdapat pembiakan aedes. Kompaun dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1957,” katanya.

Dr Othman berkata, bagi mengekang denggi daripada terus merebak, masyarakat perlu membersihkan kawasan persekitaran dan memusnahkan tempat pembiakan aedes dan menggunakan semburan aerosol.

"Selain itu, mereka juga boleh menggunakan ubat pembunuh jentik-jentik, menggunakan repelan serta mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami tanda-tanda seperti demam, sakit sendi teruk dan ruam,” katanya. - Bernama