Deepavali satukan Melayu, Cina, Siam di rumah Mek Kelate Mek Manis

Thanaletchumi (berdiri, dua dari kanan) melayani tetamu pelbagai kaum yang berkunjung ke rumahnya sempena Deepavali.
Thanaletchumi (berdiri, dua dari kanan) melayani tetamu pelbagai kaum yang berkunjung ke rumahnya sempena Deepavali.
A
A
A

KOTA BHARU - Hubungan akrab antara jiran berlainan bangsa terus menjadi keunikan masyarakat Kelantan apabila kediaman sebuah keluarga India di Lundang di sini dikunjungi kenalan Melayu, Cina dan Siam sempena Deepavali.

Bagi Thanaletchumi Govindasamy, 48, atau lebih dikenali sebagai Mek Kelate Mek Manis, kehadiran jiran dan kenalan berlainan bangsa yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri mencerminkan hubungan harmoni yang terjalin sejak sekian lama.

Thanaletchumi dan keluarga meraikan tetamu yang berkunjung ke rumahnya di Lundang.
Thanaletchumi dan keluarga meraikan tetamu yang berkunjung ke rumahnya di Lundang.

Menurutnya, aspek penyediaan makanan untuk tetamu turut diberi perhatian dengan mengambil kira sensitiviti, khususnya bagi mereka yang beragama Islam.

“Sebab itu, saya sediakan makanan yang sesuai untuk mereka. Jiran Melayu sendiri bantu masakkan nasi minyak, kari kambing dan rendang ayam ala India.

“Jadi, raya Deepavali ini bukan India sahaja yang datang, ada Melayu, Cina dan Siam. Saya sayang mereka semua kerana semua adalah sahabat saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lundang di sini pada Ahad.

Thanaletchumi (kanan) bersama jiran Melayu yang membantu memasak nasi minyak dan kari kambing.  
Thanaletchumi (kanan) bersama jiran Melayu yang membantu memasak nasi minyak dan kari kambing.  

Artikel Berkaitan:

Thanaletchumi yang juga pempengaruh media sosial berkata, pengalaman bergaul dengan masyarakat pelbagai kaum sejak kecil menjadikannya biasa dengan perbezaan adat dan budaya di Kelantan.

“Di Kelantan memang tak pelik, semua kecek ‘Kelate.’

“Raya pun rai sama-sama dan hubungan seperti ini kita mahu kekal selama-lamanya,” ujar Thanaletchumi.

Thanaletchumi (kiri) bersama dengan kenalan berbangsa Cina. 
Thanaletchumi (kiri) bersama dengan kenalan berbangsa Cina. 

Menurutnya, pertemuan ketika musim perayaan memberi peluang kepada setiap kaum memahami tradisi masing-masing termasuk makanan dan amalan masyarakat India ketika Deepavali.

Katanya, kemeriahan berkumpul bersama jiran dan kenalan berlainan bangsa juga menjadikan hubungan silaturahim semakin rapat serta memupuk sikap saling menyayangi dan menghormati.

Thanaletchumi memasang pelita minyak sambil menghias lantai dengan corak kolam berwarna-warni sempena sambutan Deepavali.
Thanaletchumi memasang pelita minyak sambil menghias lantai dengan corak kolam berwarna-warni sempena sambutan Deepavali.

Mengulas sambutan tahun ini, beliau berkata, majlis di rumahnya lebih meriah apabila keluarga turut memperingati ibu mentuanya yang meninggal dunia dengan mengadakan sambutan lebih besar.

Dalam pada itu, Thanaletchumi berkata, keluarganya masih mengamalkan tradisi masyarakat India pada pagi Deepavali termasuk menyapu minyak di kepala sebelum mandi, mengenakan pakaian baharu dan sembahyang di kuil.

Selepas pulang dari kuil, keluarga akan menikmati sarapan istimewa seperti tosai dan kari kambing, manakala tetamu juga dihidangkan dengan nasi minyak selain muruku.

Tetamu berbangsa Melayu menikmati nasi minyak di rumah Thanaletchumi. 
Tetamu berbangsa Melayu menikmati nasi minyak di rumah Thanaletchumi. 

Sementara itu, tetamu yang hadir, Nor Hamidi Muhammad Nazir, 37, atau dikenali sebagai Abe Mat Ngepek berkata, kunjungan bersama isteri dan tiga anaknya ke rumah Thanaletchumi memberi peluang kepada mereka mengenali dengan lebih dekat budaya masyarakat India di Kelantan.

Katanya, beliau mengenali Thanaletchumi menerusi media sosial dan mengambil peluang berkunjung bagi melihat sendiri kemeriahan perayaan itu selain memberi pendedahan kepada anak-anak mengenai budaya kaum lain.

“Anak-anak saya tidak pernah merasai suasana perayaan kaum lain seperti ini. Jadi, saya mahu mereka melihat sendiri bagaimana masyarakat India menyambut Deepavali.

“Inilah antara keunikan Kelantan. Walaupun bahasa dan bangsa berbeza, apabila bercakap menggunakan loghat Kelantan, kita rasa seperti satu keluarga,” katanya.

Tambahnya, keharmonian yang dinikmati masyarakat pelbagai kaum perlu terus dipelihara dengan saling menghormati agama, budaya dan adat resam masing-masing.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!