Kes denggi di Johor membimbangkan

Aktiviti pemusnahan tempat pembiakan kini giat dijalankan oleh anggota kesihatan membabitkan di dalam dan luar rumah. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Tian Soon)
Aktiviti pemusnahan tempat pembiakan kini giat dijalankan oleh anggota kesihatan membabitkan di dalam dan luar rumah. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Tian Soon)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 218 kes demam denggi dilaporkan di negeri ini pada Minggu Epid ke 19/2023 yang merupakan jumlah tertinggi pernah direkodkan setakat ini bagi tahun 2023.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, jumlah itu disifatkan sebagai membimbangkan dengan peningkatan 30 peratus berbanding minggu sebelumnya.

"Satu kematian berpunca kes demam denggi turut dilaporkan pada Minggu Epid 19/2023 di negeri ini.

"Jumlah kumulatif kes demam denggi di Johor setakat Minggu Epid ke 19/2023 ialah sebanyak 2,917 kes dan ia mencatatkan peningkatan 415 peratus kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu dengan hanya sebanyak 566 kes.

"Daripada jumlah kes yang dilaporkan, sebanyak 1,081 kes (37.1 peratus) dilaporkan dari lokaliti wabak dan 1,836 kes (62.9 peratus) dari lokaliti bukan wabak," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Tian Soon berkata, daerah yang melaporkan kes tertinggi demam denggi ialah Johor Bahru membabitkan 154 kes dengan 70.6 peratus diikuti Kulai (30 kes, 13.8 peratus), Batu Pahat (11 kes, lima peratus), Kluang (lapan kes, 3.7 peratus), Kota Tinggi (empat kes, 1.8 peratus).

"Muar, Tangkak dan Segamat masing-masing (tiga kes, 1.4 peratus) manakala Pontian dan Mersing masing-masing (satu kes, 0.5 peratus).

"Daerah yang melaporkan peningkatan kes pada Minggu Epid 19/2023 berbanding Minggu 18/2023 adalah Johor Bahru, Kulai, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Tangkak," katanya.

Tian Soon berkata, aktiviti pemusnahan tempat pembiakan (PTP) kini giat dijalankan oleh anggota kesihatan membabitkan di dalam dan luar rumah.

"Penemuan tempat pembiakan serta tempat berisiko pembiakan di dalam rumah menunjukkan masyarakat masih lagi belum peka kepada keperluan pembersihan dan pemusnahan tempat berisiko untuk pembiakan nyamuk Aedes.

"Aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan telah mengeluarkan sebanyak 2,385 kompaun dengan nilai kompaun sebanyak RM 1.14 juta ditawarkan manakala 56.2 peratus daripadanya telah membayar kompaun berkenaan," katanya.