Permudahkan pengundi jalankan tanggungjawab

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KELMARIN, Sinar Harian membuat tinjauan orang ramai berhubung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kebanyakan mereka mengharapkan agar hari pengundian nanti jatuh pada Sabtu atau Ahad, iaitu hari kebanyakan sedang bercuti hujung minggu.

Bagi sesetengah orang, soal pemilihan hari mengundi mungkin dianggap tidak penting, tetapi bagi mereka yang merantau, sukar sekiranya hari pengundian dilakukan pada hari kerja.

Contohnya, bagi pengundi dari Pantai Timur yang tinggal di Lembah Klang, sudah tentu perlu mengambil masa sehari suntuk untuk memandu kenderaan masing-masing balik ke tempat pengundian mereka.

Ditambah kesesakan jalan raya yang dijangka berlaku apabila orang ramai berduyun-duyun pulang ke kampung untuk menjalani tanggungjawab membuang undi.

Jika dibuat pada hari kerja pula, majikan mungkin memberi cuti, namun pengundi tetap perlu mengambil cuti tambahan. Oleh sebab itu, Sabtu dan Ahad dilihat lebih sesuai kerana mereka tidak perlu mengambil cuti tambahan.

Mengikut rekod, hari pengundian bagi PRU12 (2008) dan PRU13 (2013) diadakan pada Ahad dan Sabtu, manakala PRU14 (2018) diadakan pada hari bekerja iaitu Rabu.

PRU15 kali ini penting dalam menentukan kerajaan baharu bagi menstabilkan pentadbiran negara yang dilihat bercelaru sejak PRU14.

Artikel Berkaitan:

Peluang menang bagi setiap parti juga dilihat seimbang, sudah tentu kesemua parti-parti politik berharap agar ramai keluar mengundi terutama pengundi atas pagar bagi memastikan kemenangan mereka.

Ada dalam kalangan mereka menjangkakan jumlah keluar mengundi pada PRU15 akan merosot disebabkan Monsun Timur Laut.

Ada juga yang beranggapan PRU15 kali ini tidak ramai akan pulang ke kampung disebabkan tidak semua negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengundi pulang dari jauh biasanya kerana ‘ghairah’ mahu memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lebih dekat di hati mereka, berbanding ahli Parlimen.

Namun, sebilangan lagi berpendapat jumlahnya akan meningkat mengambil kira golongan muda yang pertama kali mengundi selepas pindaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik telah diwartakan di negara ini.

Itu hanyalah pendapat masing-masing. Apa yang penting, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bijak memastikan PRU15 kali ini bukan saja berjalan lancar, malah jumlah keluar mengundi meningkat.

Mungkin pendapat orang ramai supaya hari pengundian pada Sabtu atau Ahad boleh diambil kira.