Cuaca panas: Orang ramai kurangkan bajet raya, beli kipas

Gambar dari kiri: Napsiyah, Muhammad Khairul Arham, Nor Ain
Gambar dari kiri: Napsiyah, Muhammad Khairul Arham, Nor Ain
A
A
A

JOHOR BAHRU - Cuaca panas dan kering ketika ini ternyata memberikan kesan kepada orang ramai, terutama dari segi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar Johor Bahru mendapati orang ramai mengakui berlaku sedikit perubahan apabila perbelanjaan bagi membeli pakaian, perhiasan dan sebagainya telah digunakan bagi membeli kipas atau alat penyaman udara.

Bagi Napsiyah Shamsul Bahru, 27, bajet hari raya kali ini memang berbeza berbanding sebelumnya kerana digunakan untuk membeli kipas tambahan susulan cuaca yang agak panas ketika ini.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, pertambahan kipas itu diharap dapat membantu memberi keselesaan kesan daripada cuaca panas.

"Raya kali ni memang kurang bajet untuk barang-barang raya sebab nak tambah kipas.

"Ketiga-tiga anak saya masih kecil dan mereka tak boleh panas apabila hendak tidur, nak tak nak memang kena pasang kipaslah.

"Lagipun, tahun ini tetamu pun tak datang sebab panas dan ramai yang demam," katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Khairul Arham Shah Akbar, 28, turut mengakui tidak banyak 'berjalan' pada hari raya kali ini kerana cuaca agak panas.

Katanya, biarpun pulang berhari raya ke kampung di Melaka, ziarah-menziarahi ke rumah sanak saudara agak terhad kali ini tidak seperti sebelumnya.

"Balik kampung dan duduk di rumah sahaja, tak banyak pun rumah saudara mara yang sempat saya pergi... panas sangat.

"Di rumah, saya dah tambah dua lagi kipas berdiri sebab saya dah tak 'rasa' anginnya lagi," katanya.

Sementara itu bagi peniaga, Nor Ain Daud, 72, dia tetap meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri seperti biasa walaupun cuaca panas.

Katanya, kesempatan serta peluang berhari raya dan bertemu dengan sanak saudara tidak seharusnya dilepaskan begitu sahaja.

"Saya tetap macam biasa, berjalan raya kerana setahun sekali itulah hari paling tepat hendak jumpa saudara mara... Cuaca panas tu lupakanlah sekejap.

"Memanglah panas, tapi saya tak beli pendingin hawa atau tambah kipas, pakai sahaja apa ada... kalau mampu kita beli.

"Lagipun (harga) barang mahal, selagi ada pakai jangan membazir... panas ni ujian ALLAH SWT," katanya.