UMNO bergerak solo, Pas mahu kata putus Zahid

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas mahukan kata putus daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung keputusan parti itu ingin bergerak solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Pas kini dalam proses mendapatkan penjelasan pemimpin berkenaan susulan kenyataan berhubung pendirian UMNO yang dilaporkan media sebelum ini.

"Ada kita dengar bergerak solo itu daripada naib presiden beliau. Kalau kita dengar kenyataan berbulan-bulan yang lalu, kadangkala naib presiden cakap lain, timbalan presiden cakap lain. Kadangkala semua cakap lain satu nada, presiden 'overall'. Kita jadi kelam-kabut.

"Kami (Pas) dalam proses mendapatkan penjelasan daripada presiden mereka sendiri. Kita pun dengar dari media. Kita tak salahkan media, tetapi kita mahu dengar dari mulut dia (Ahmad Zahid) sendiri," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pegawai Tadbir Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini, pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, ditanya keputusan Pas selepas UMNO Terengganu turut menyatakan akan bergerak solo, beliau berkata, usaha untuk terus kekal bersama dalam Muafakat Nasional (MN) tidak terhenti.

"MN di Terengganu tidak akan dikuburkan. Kalau ada yang menguburkan itu adalah masalah mereka, bukan masalah di pihak Pas.

"Walaupun bermacam cercaan dan momokan diberi, kita tak akan 'give up' dan akan berusaha memperbaiki (hubungan). Kalau tak boleh semua, kita tak tolak semua. Kalau tak boleh 10, boleh selesai satu pun kita selesai satu,"katanya.

UMNO sebelum ini menetapkan tiga syarat kepada Pas dalam memperkukuh kerjasama rasmi antara dua parti itu bagi menghadapi PRU15.

Artikel Berkaitan:

Tiga syarat berkenaan termasuk Pas perlu keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu serta mengisytiharkan secara rasmi ‘mufaraqah’ berkenaan dan bukan hanya sekadar retorik politik.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Selasa berkata, UMNO menyifatkan Pas telah gagal memenuhi syarat untuk membolehkan mereka meneruskan kerjasama bagi menghadapi PRU15.

Bagaimanapun, Pas dalam kenyataan balas menetapkan pendirian untuk terus bekerjasama dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu tetap akan meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan 'komitmen' ketiga-tiga parti teras-Melayu seterusnya menjamin kestabilan politik negara pasca PRU15.