[VIDEO] Zambry sahkan tiada pertemuan BN dengan kem Hamzah

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mengesahkan tiada sebarang pertemuan dilakukan parti itu bersama kumpulan pemimpin yang dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin setakat ini.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang permohonan keahlian parti daripada kumpulan pemimpin itu ataupun hasrat menyertai Rumah Bangsa yang diusulkan Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Konsep rumah baharu kita terbuka, kita tidak meletakkan pada satu-satu kumpulan sahaja sepertimana yang telah disebutkan oleh Presiden UMNO sendiri.
“Ia konsep yang besar, yang bukan hanya melibatkan parti politik tetapi juga melibatkan semua kumpulan dan juga mungkin ada di kalangan badan bukan kerajaan (NGO) yang ada dalam negara ini serta mempunyai satu hasrat, visi dan matlamat yang sama atas nama kesatuan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini pada Rabu.
Bagaimanapun, Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, BN tidak mencampuri urusan kumpulan terbabit mahupun urusan Bersatu keseluruhannya.
“Soal (kita) jumpa mereka atau tidak, itu (memang) belum lagi, cuma sekarang ini (urusan) di peringkat merekalah sebab di peringkat BN, kita tidak mahulah masuk campur urusan mereka.
“Kita tahu mereka sedang berada dalam suasana berantakan, biarlah mereka selesaikan terlebih dahulu,” ujarnya.
Sementara itu, ditanya sama ada BN akan mengambil inisiatif mengajak pemimpin terbabit bekerjasama dengan parti itu, Zambry menegaskan BN tidak akan berbuat demikian kerana yakin mereka juga mempunyai perancangan tersendiri untuk meneruskan perjuangan.
“Takkanlah kita nak memulakan (untuk mendekati mereka), ini urusan mereka. Masalah (yang dihadapi) mereka biarlah diselesaikan terlebih dahulu dan tentunya mereka ada perancangan-perancangan mereka,” tambah beliau.
Mengenai kemungkinan BN akan meletakkan syarat jika Hamzah dan kumpulannya mahu menyertai gabungan tersebut, Zambry menegaskan ia bersifat hipotetikal atau andaian.
“Itu saya anggap soalan hipotetikal. Biarlah apabila ia berlaku baru kita akan menjawab perkara berkenaan,” katanya.
Pada 14 Februari lalu, Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu dilapor memberi bayangan mengenai kemungkinan pembentukan sebuah ‘rumah baharu’.
Hamzah berkata, istilah rumah baharu berkenaan tidak semestinya merujuk kepada penubuhan parti baharu, sebaliknya mungkin menyertai parti lama sama ada mengambil alih parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), kembali menganggotai UMNO ataupun menyertai Pas.
Sehari sebelum itu, Bersatu dilaporkan memecat 17 ahlinya membabitkan Hamzah serta beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) termasuk empat ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Antara yang dipecat ialah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan dan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.
ADUN yang terlibat pula ialah wakil Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, wakil Bemban dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub selain Setiausaha Bersatu Sabah, Yunus Nurdin yang juga Ketua Bersatu Libaran.
Keahlian mereka ditamatkan kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu namun mereka berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat berkenaan dikemukakan.
Ringkasan AI
- Barisan Nasional mengesahkan tiada pertemuan dengan pemimpin yang dipecat dari Bersatu
- Tiada permohonan keahlian dari pemimpin tersebut untuk sertai BN atau Rumah Bangsa
- Konsep Rumah Bangsa terbuka tidak hanya untuk parti politik tetapi juga NGO
- BN tidak mencampuri urusan kumpulan pemimpin yang dipecat atau urusan Bersatu secara keseluruhan
- Zambry Abdul Kadir menyatakan BN tidak akan mengajak kerjasama pemimpin yang dipecat kerana percaya mereka mempunyai perancangan sendiri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

