7,124 Polis Perak siap sedia hadapi PRU15, banjir

Mohd Yusri
Mohd Yusri
A
A
A

BAGAN SERAI - Seramai 7,124 pegawai dan anggota Polis Perak bersiap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan fenomena banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 9,722 warga kontinjen Perak yang akan diatur gerak bagi penugasan berkaitan.

"Polis Perak terus mengambil tindakan pantas dengan membuat persiapan untuk menghadapi penugasan PRU15 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

"Saya percaya kita dapat mengawal dan memastikan pilihan raya berjalan dengan baik dan teratur mengikut peraturan-peraturan yang akan dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Semua pihak termasuk parti yang bertanding dapat memainkan peranan masing-masing agar proses pilihan raya berjalan lancar," katanya.

Mohd Yusri (tengah) menyaksikan serah tongkat kuasa jawatan Ketua Polis Daerah Kerian antara Mazuki (kiri) dan Hudri di IPD Kerian pada Selasa.
Mohd Yusri (tengah) menyaksikan serah tongkat kuasa jawatan Ketua Polis Daerah Kerian antara Mazuki (kiri) dan Hudri di IPD Kerian pada Selasa.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Serah Terima Tugas jawatan Ketua Polis Daerah Kerian dan Pengerusi Perkep Daerah Kerian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini pada Selasa.

Pada majlis itu, Superintendan Mazuki Mat yang bersara wajib pada Selasa menyerahkan jawatan itu kepada Deputi Superintendan Hudri Mohd Arshad sebagai pemangku.

Artikel Berkaitan:

Kata Mohd Yusri, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan sekiranya terdapat pelanggaran di bawah Akta Pilihan Raya 1954 dan akta lain berkaitan.

Tambah beliau, semua aset milik polis telah disiapkan sekiranya berlaku banjir terutama di lokasi panas banjir di beberapa daerah.

"Aset-aset kita terdiri daripada bot penyelamat, kenderaan, lori dan peralatan menyelamat termasuk jaket keselamatan dalam keadaan siap siaga.

"Kita juga akan bekerjasama dengan agensi penyelamat lain antaranya bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan proses pemilihan berjalan baik serta menjamin keselamatan orang ramai," katanya.