90 peratus anggota polis Terengganu bertugas ketika Aidilfitri

Rohaimi (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang sempena pertandingan lampu raya malam tujuh likur peringkat IPD Kemaman.
Rohaimi (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang sempena pertandingan lampu raya malam tujuh likur peringkat IPD Kemaman.
A
A
A

KEMAMAN - Polis Terengganu akan meningkatkan rondaan dan pemantauan terutama melibatkan kawasan perumahan yang ditinggalkan penghuni dalam usaha mengekang jenayah sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, rondaan akan dilakukan secara berkala dengan memberi tumpuan kawasan-kawasan perumahan serta perniagaan yang berpotensi menjadi sasaran penjenayah.

"Untuk musim perayaan kali ini, pihak polis akan melipatgandakan lagi rondaan di kawasan-kawasan yang berisiko dan menjadi sasaran penjenayah.

"Mereka yang ingin pulang ke kampung halaman juga dinasihati supaya melaporkan dahulu ke balai berdekatan sebagai persediaan sebelum meninggalkan rumah," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan pertandingan lampu raya malam tujuh likur peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman 2023 di Dewan Perumahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Mentok di sini malam Ahad.

Ketua Cawangan Khas IPD Kemaman, Asisten Superintendan Mohd Hafizuddin Samsurai (empat dari kanan) menyandang juara kategori selekoh pertandingan lampu raya malam tujuh likur peringkat IPD Kemaman.
Ketua Cawangan Khas IPD Kemaman, Asisten Superintendan Mohd Hafizuddin Samsurai (empat dari kanan) menyandang juara kategori selekoh pertandingan lampu raya malam tujuh likur peringkat IPD Kemaman.

Rohaimi berkata, 90 peratus pegawai dan anggota polis di negeri itu akan bertugas sepanjang musim perayaan ini bagi memberi tumpuan terhadap kesesakan jalan raya, pencegahan jenayah, keselamatan harta benda dan keselamatan nyawa orang awam.

"Seperti tahun-tahun sebelum ini, hanya 10 peratus anggota dan pegawai yang dibenarkan bercuti kerana mereka akan mengikut jadual secara bergilir.

"Untuk kali ini, seramai 390 orang daripada keseluruhan 3,900 anggota yang dibenarkan untuk bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan; Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar serta ketua-ketua bahagian IPD Kemaman.

Dalam pada itu, Rohaimi memuji usaha IPD Kemaman yang menganjurkan pertandingan lampu raya malam tujuh likur yang menarik penyertaan lebih 400 keluarga warga IPD berkenaan.

"Usaha ini memberikan keceriaan terutama kepada anggota-anggota yang perlu bertugas pada hari raya nanti.

"IPD Kemaman wajar dijadikan sebagai model berikutan kejayaan mereka menganjurkan program seumpama itu berturut-turut. Usaha ini mungkin boleh dibawa ke daerah-daerah lain selepas ini," ujarnya.