NRECC siap sedia hadapi cuaca panas, kering hingga Ogos

Nik Nazmi (kiri) melancarkan 'Madani Reusable Bag' dan Kempen Tanpa Beg Plastik di Wisma 99 Speedmart, Taman Berkeley pada Selasa. - Foto: Bernama
Nik Nazmi (kiri) melancarkan 'Madani Reusable Bag' dan Kempen Tanpa Beg Plastik di Wisma 99 Speedmart, Taman Berkeley pada Selasa. - Foto: Bernama
A
A
A

KLANG - Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan akibat cuaca panas dan kering yang dijangka melanda negara sehingga Ogos ini.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya sedang memantau rapat di kawasan yang terkesan akibat cuaca berkenaan terutamanya di negeri di bahagian utara Semenanjung membabitkan isu seperti masalah bekalan air, pembakaran di tanah terbuka dan kebakaran di tanah gambut.

Menurutnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selaku badan pengawalseliaan kebangsaan untuk industri air dan pembentungan, telah mengadakan perbincangan dengan operator air di seluruh negara bagi memastikan bekalan air cukup di setiap negeri.

"Jadi buat masa ini, SPAN sedang pantau untuk pastikan kita dapat uruskannya dengan sebaik mungkin, tetapi memang pelan itu sudah ada dan diketahui operator-operator air sendiri.

"Di kawasan utara terutamanya mengalami cuaca kering, tapi kalau ikut ramalan akan sampai ke seluruh Semenanjung serta Sabah dan Sarawak. Tapi kita tengok dalam beberapa minggu ini di Lembah Klang, hujan masih turun, namun kita akan terus pantau dan lihat pada ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Madani Reusable Bag dan Kempen Tanpa Beg Plastik di 99 Speed Mart pada Selasa.

Dalam pada itu, mengenai kegiatan orang awam mengambil air dari dalam tanah, beliau berkata, perkara itu harus dipantau memandangkan sumber air tersebut mungkin terkandung bahan logam tinggi yang boleh menjejaskan kesihatan.

Sebelum itu, Nik Nazmi dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan 99 Speed Mart yang tidak lagi membekalkan beg plastik kepada pengguna di semua cawangannya dan memperkenalkan Madani Reusable Bag berharga RM2 yang boleh ditukarkan baharu sekiranya rosak.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan kini sedang mengorak langkah memperluas Kempen Tiada Beg Plastik yang kini dilaksanakan di semua premis tetap kepada semua premis perniagaan secara beransur-ansur dalam tempoh 2022 hingga 2025.

Tambahnya, kempen tersebut yang dilaksana di bawah tanggungjawab kerajaan negeri merupakan satu daripada pelan jangka panjang kerajaan dalam menangani isu pencemaran sisa plastik sekali guna di Malaysia.

Antara negeri telah menjalankan kempen berkenaan ialah Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan. - Bernama