UMNO sedia hadapi PRN

Reezal (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan Aidilfitri kepada salah seorang penerima.
Reezal (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan Aidilfitri kepada salah seorang penerima.
A
A
A

KEPALA BATAS - [DIKEMAS KINI] UMNO sedang giat membuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri apabila usaha terbabit telah mencapai 80 peratus.

Ketua Jabatan Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kesiapsiagaan UMNO di enam negeri tersebut berada di tahap yang amat tinggi.

Bagaimanapun kata beliau, kali ini, kesiapsiagaan yang dibuat bukan hanya melibatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebaliknya ia berdasarkan keserasian antara parti komponen yang baru di dalam Pakatan Harapan (PH).

"Saya sudah bertemu dengan badan perhubungan UMNO keenam-enam negeri dan apa yang boleh saya katakan, kesiapsiagaan untuk menghadapi PRN berada di tahap yang amat tinggi. Saya tidak mahu mengulas dengan lebih mendalam mengenai perkara ini kerana biar lah ia dibuat di belakang tabir.

"Umumnya, yang semua tahu, formula yang bakal dibawa adalah formula gagasan Kerajaan Perpaduan yang mana, ia akan diterjemahkan dalam PRN nanti seperti yang telah berlaku di Pahang, Perak dan Melaka.

"Asas yang sama akan dibawa ke PRN untuk keenam-enam negeri nanti. Di peringkat UMNO, alhamdulillah. Ada negeri yang sudah mula perbincangan dan rundingan awal," katanya ketika ditemui selepas Majlis Bantuan Aidilfitri Parlimen Kepala Batas 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Badawi di sini pada Sabtu.

Dalam program tersebut, seramai 400 penerima yang terdiri daripada asnaf, warga emas, anggota polis dan bomba menerima bantuan.

Pada Februari lalu media melaporkan, enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu bersepakat untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.

Keenam-enam negeri itu tidak mengadakan PRN serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.

Dalam pada itu, Reezal yang juga Pengarah Koordinasi PRN berkata, keserasian antara UMNO dan BN dengan PH sedang dipupuk dan berjalan dengan baik.

"PH, UMNO dan BN mempunyai keazaman yang tinggi dan ini terbukti dalam banyak hal antaranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sanggup singgah di Kepala Batas semalam (Jumaat) untuk bersolat Isyak dan terawih walaupun jadual beliau amat padat.

"Selain itu, program-program kita juga turut dihadiri oleh Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri I, dan ia berlaku bukan sekali. Ini syarat awal bahawa keazaman untuk membentuk kerajaan berpandukan Kerajaan Perpaduan amat tinggi.

Reezal beramah mesra dengan salah seorang penerima bantuan Aidilfitri pada Majlis Bantuan Aidilfitri Parlimen Kepala Batas 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Badawi pada Sabtu.
Reezal beramah mesra dengan salah seorang penerima bantuan Aidilfitri pada Majlis Bantuan Aidilfitri Parlimen Kepala Batas 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Badawi pada Sabtu.

"Dari situ, kita boleh lihat keserasian yang dipupuk dalam masa yang singkat. Dalam tempoh 100 hingga 120 hari ini, apabila sampai pada saat dan ketika (PRN diadakan), kita akan berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi," katanya.

Menjawab mengenai beberapa pandangan terhadap UMNO kononnya tiada usaha untuk menarik sokongan pengundi Melayu selepas mengalami kekalahan dalam PRU15, bekas Ahli Parlimen Kepala Batas itu berkata, perkara itu perlu dilihat sendiri sambutan yang diberikan rakyat setiap kali UMNO mengadakan program.

"Saya kira, banyak telahan yang dibuat tetapi tengok lah sendiri di Kepala Batas. Saya kalah tetapi apabila saya buat program, sambutan amat menggalakkan. Kita tidak mahu tenggelam dengan analisa-analisa yang tidak semestinya memberikan gambaran secara menyeluruh.

"Tetapi, jika kita ikhlas dan menunjukkan kesungguhan untuk membentuk Kerajaan Perpaduan (yang bukan hanya berpolitik), insyaAllah rakyat akan berasa lebih terjamin dan selesa. Apabila rakyat berasa kestabilan itu, maka mereka akan menerima kita," katanya.