Terima kasih Laoshi, ikon Maulidur Rasul

Yang di-Pertuan Agong berkenan beramah mesra bersama Anugerah Ikon Ibu Sejati Keluarga Malaysia Chee Hoi Lan (berkerusi roda). -Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong berkenan beramah mesra bersama Anugerah Ikon Ibu Sejati Keluarga Malaysia Chee Hoi Lan (berkerusi roda). -Foto Bernama
A
A
A

ANUGERAH Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun ini sekali lagi mencuri tumpuan apabila pesara guru tadika, Chee Hoi Lan, 83, yang mesra dipanggil Laoshi dipilih sebagai penerima anugerah kategori Ibu Sejati-Keluarga Malaysia.

Wanita bukan Islam itu dipilih menerima anugerah tersebut selepas membesarkan Rohana Abdullah sebagai seorang Muslimah, yang ditinggalkan oleh ibunya semasa bayi.

Laoshi tidak pernah menjadikan perbezaan budaya dan agama sebagai penghalang untuk dia menumpahkan kasih sayang kepada Rohana, kini berusia 22 tahun, seperti anak sendiri, malah memastikan anak angkatnya itu mengikuti Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) untuk mempelajari agama Islam.

Pemilihan individu bukan Islam sebagai penerima anugerah pada acara tahunan umat Islam itu bukanlah sesuatu yang janggal.

Selain Laoshi, tokoh bukan Islam lain yang pernah menerima Anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan ialah aktivis, Tan Sri Lee Lam Thye (2019); pensyarah, Dr Lim Swee Tin (2016); jurulatih pendakian, Mithun Jay Langgim (2015); pelajar sekolah, Wee Soo Yen (2011); pegawai penyelidik Mardi, Dr Tan Swee Lian (2009) dan pegawai bomba, Liew Tong Sin (2004).

Lam Thye terkenal kerana sumbangan besarnya terhadap kesedaran keselamatan termasuk membangunkan buku panduan bagi membantu institusi tahfiz menangani isu berkenaan.

Swee Tin ialah pakar bahasa Melayu; Mithun diingati kerana keberaniannya menyelamatkan 135 pendaki yang terkandas di puncak Gunung Kinabalu selepas gempa bumi melanda Sabah pada 5 Jun 2015, manakala Soo Yen ialah satu-satunya pelajar bukan Islam yang mendapat A mata pelajaran Bahasa Arab dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah.

Swee Lian pula dipuji kerana usaha penyelidikannya dan membangunkan teknologi pengeluaran ubi kayu serta keledek, sementara Tong Sin menyertai banyak operasi mencabar termasuk mengetuai satu pasukan untuk melupuskan babi yang dijangkiti virus Nipah pada 1999.

Artikel Berkaitan:

Pemilihan mereka hakikatnya adalah lambang komitmen kerajaan untuk memupuk kesedaran rakyat mengenai kepentingan integrasi kaum dan mengiktiraf sumbangan mereka.

Paling utama, mereka adalah ikon rakyat Malaysia berjiwa besar dan harus menjadi teladan kepada kita semua. Terima kasih Laoshi.