Undi DAP: 'Terima kasih Ahmad Maslan' - Young Syefura

YOUNG SYEFURA
YOUNG SYEFURA
A
A
A

SHAH ALAM - Saranan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan yang meminta pengundi parti itu memilih calon daripada Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk DAP adalah relevan.

Timbalan Ketua kepimpinan Jawatankuasa Eksekutif Pemuda DAP (DAPSY), Young Syefura Othman berkata, ia kerana sokongan daripada akar umbi tidak kira dari mana-mana parti gabungan amat diperlukan untuk memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan dan juga negeri.

"Kestabilan kerajaan dan politik amat penting buat masa kini demi memastikan pembaharuan dapat dilakukan dengan baik dan dasar-dasar yang memberikan kebaikan kepada rakyat dijalankan dan digubal.

"Oleh itu, saya menyambut baik gesaan ini dan saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahmad Maslan kerana berlapang hati dan berjiwa besar demi Kerajaan Perpaduan ini," katanya kepada Sinar Harian.

Ahli Parlimen Bentong turut bersetuju dengan tindakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang meminta ahli parti untuk menyokong dan mengundi calon UMNO pada PRN nanti.

Jelasnya, ia sudah menjadi resam untuk semua pihak bekerjasama untuk saling menyokong antara satu sama lain.

Justeru, beliau juga berharap akar umbi UMNO akan memberi peluang kepada gabungan Kerajaan Perpaduan untuk terus menerajui kerajaan baik di peringkat Persekutuan mahupun negeri.