Promosi PBM, Larry ucap terima kasih pada Zuraida

 Larry Sng Wei Shien
Larry Sng Wei Shien
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Larry Sng Wei Shien mengucapkan terima kasih kepada Datuk Zuraida Kamaruddin di atas sumbangannya terhadap parti itu, termasuk membantu mempromosikannya.

Ucapannya itu dilakukan setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bekas Ahli Parlimen Ampang berkenaan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Pendaftar Pertubuhan (RoS), bahawa beliau adalah presiden PBM yang sah.

“Dalam politik, kadang-kadang anda menang dan kalah. Ia tidak bermakna bahawa bila kalah, itu menjadikan anda seorang yang jahat.

“Dengan dia pergi bersama-sama dengan penyokongnya daripada barisan kepimpinan termasuk orang-orang seperti bekas ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Dr Xavier Jayakumar, Datuk Seri Dr Edmund Santa, Datuk Mohamaddin Ketapi, Paul Yong, Haniza Talha, Dr Daroyah Alwi, A Sivasubramaniam dan Leong Cheok Keng), saya percaya PBM sedang berjalan dengan pijakan yang baik pada batu tulis yang bersih,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa telah menolak permohonan Zuraida untuk kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Hakim Amarjeet Singh berkata, mahkamah tidak boleh menyiasat hal ehwal parti politik di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 dan terikat dengan duluan yang ditetapkan oleh Mahkamah Rayuan.

Tambah Larry, keputusan itu bermakna PBM kini hanya mempunyai satu kerusi di Parlimen buat masa ini.

“Pada tahun 2004, PKR (Parti Keadilan Rakyat) juga hanya mempunyai satu kerusi di Parlimen dan hari ini mereka adalah kerajaan.

“Saya percaya PBM akan terus memberi impak dalam landskap politik Malaysia dan saya mengalu-alukan keputusan mahkamah hari ini,” jelasnya.

Pada 24 Mac lalu, Zuraida telah memfailkan permohonan semakan penghakiman melalui Tetuan Ashmeer Ashrof dengan menamakan RoS sebagai responden tunggal.

Bekas menteri itu meminta beberapa deklarasi, termasuk keputusan RoS untuk mengekalkan Larry sebagai presiden parti adalah tidak sah dan tidak munasabah.

Beliau juga memohon perintah mandamus untuk memaksa RoS mengiktiraf dan mendaftarkannya sebagai Presiden PBM berkuat kuasa 7 Oktpber tahun lepas.

Pada Disember lalu, Zuraida dipecat oleh PBM bersama 10 pemimpin parti lain selepas mereka gagal menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan berikutan penggantungan mereka daripada parti pada Oktober.