PRU15: Puad minta Rafizi sediakan lebih banyak 'payung'

Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi meminta Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli agar menyediakan lebih banyak 'payung' bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini kerana beliau mendakwa, petisyen bantahan PRU15 telah gagal dan tidak mendapat sambutan rakyat.

"Saya nak berpesan kepada Rafizi. Sediakan banyak payung. Sediakan payung sebelum hujan. Nampak petisyen dia gagal sebenarnya.

"Kenapa gagal? sebab saya difahamkan Bersih cuma ada 3,000 sahaja yang menyokong petisyen mereka. Itu bermakna rakyat memang mahukan pilihan raya dilakukan pada tahun ini.

"Sebenarnya tak cepat pun. Sebab sudah dekat sangat dengan tempoh idah pilihan raya. Tetapi rakyat memang tidak sabar untuk mendapatkan kerajaan yang stabil sebenarnya. Sebab itulah, petisyen Rafizi dan Bersih tidak mendapat sokongan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri Mesyuarat MKT di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Isnin.

Desas-desus bahawa kerajaan mahu mengadakan PRU15 pada tahun ini mencetuskan bantahan pelbagai pihak khususnya pembangkang kerana menyifatkan ia tidak sesuai memandangkan risiko bencana banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL).

Susulan itu, Rafizi melancarkan petisyen Bantah PRU15 Semasa Banjir: Selamatkan Nyawa Bukan Jawatan bermula 27 September lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun berdasarkan tinjauan Sinar Harian, petisyen berkenaan kini mendapat 24,255 sokongan berbanding sasaran 25,000 sokongan.

Sementara itu, Khamis lalu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 turut melancarkan petisyen membantah PRU15 diadakan semasa musim tengkujuh.

Dalam petisyen itu, Bersih 2.0 memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengutamakan keselamatan dan kemudahan rakyat sebelum memutuskan pembubaran Parlimen.

Tinjauan Sinar Harian ke pautan petisyen berkenaan pula mendapati ia telah mendapat lebih 3,000 sokongan berbanding 5,000 sasaran setakat ini.