Zulkifli pertikai pemecatan, dakwa proses disiplin Bersatu tidak telus

Zulkifli Bujang
Zulkifli Bujang
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Bahru, Datuk Zulkifli Bujang mendakwa pemecatannya daripada keahlian dibuat tanpa melalui proses disiplin yang telus serta adil.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) berkata, keputusan pemecatan itu dimaklumkan lewat petang Khamis menerusi sepucuk surat yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp oleh Lembaga Disiplin parti.

“Untuk makluman, surat panggilan menghadiri sidang Lembaga Disiplin hanya saya terima ketika berada di luar negara atas urusan yang telah dijadualkan lebih awal.

“Sejurus menerima surat tersebut, saya telah memohon agar satu tarikh baharu ditetapkan bagi membolehkan saya pulang ke tanah air dan hadir memberikan penjelasan secara bersemuka,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Bagaimanapun, kata Zulkifli, keputusan pemecatan telah dibuat tanpa sebarang sesi pendengaran dan tanpa memberi ruang munasabah untuk beliau membela diri.

Beliau mendakwa, keadaan itu menimbulkan persoalan serius terhadap ketelusan serta integriti proses disiplin parti, selain melihat Lembaga Disiplin seolah-olah digunakan bagi memenuhi agenda pihak tertentu.

“Perkembangan ini turut menguatkan persepsi bahawa wujud pengaruh kartel yang mengawal keputusan strategik parti demi mencapai tujuan politik tertentu,” ujarnya.

Walaupun kecewa, Zulkifli berkata, beliau tetap menghormati keputusan yang dibuat oleh parti, namun berpendapat tindakan pemecatan secara beramai-ramai itu tidak matang dan tidak mencerminkan semangat demokrasi.

Pada Jumaat, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat Bersatu, 16 lagi pemimpin parti itu menerima nasib sama setelah didapati melanggar Perlembagaan Bersatu.

Artikel Berkaitan:

Pemecatan itu dimaklumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam satu notis makluman bertarikh 13 Februari 2026.

Berdasarkan senarai penuh yang dikongsikan, selain Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut, tiga Ahli Parlimen lain serta dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut dipecat.

 

 

Ringkasan AI

  • Datuk Zulkifli Bujang mendakwa pemecatannya daripada keahlian Bersatu dibuat tanpa melalui proses disiplin yang adil
  • Keputusan pemecatan itu dimaklumkan melalui surat yang dihantar melalui WhatsApp
  • Zulkifli memohon tarikh baharu untuk sesi pendengaran tetapi pemecatan dibuat tanpa sesi pendengaran
  • Beliau mendakwa ini menunjukkan ketiadaan ketelusan serta integriti dalam proses disiplin parti
  • Selain Zulkifli, 16 lagi pemimpin Bersatu termasuk Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!