Jangan jadi wakil rakyat mudah dijual beli - Puad Zarkashi

Mohd Puad
Mohd Puad
A
A
A

BATU PAHAT - Setiap ahli Parlimen dan wakil rakyat diingatkan tidak menjadi individu yang boleh dijual beli semata-mata mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, ingatan tersebut selari dengan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mengharapkan tiada tindakan menikam dari belakang untuk kepentingan diri sendiri.

“Kita lihat sebelum ini, disebabkan adanya tindakan 'menikam' dari dalam, Perdana Menteri telah bertukar sehingga tiga kali. Teguran oleh Sultan Ibrahim, ditujukan kepada kedua-dua pihak sama ada lawan mahu pun kerajaan.

“Adanya tindakan sedemikian, sebenarnya tidak membawa makna apa pun, tiada siapa yang untung, malah demi kestabilan kerajaan sedia ada perlu dipertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar semasa Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Rengit dan Senggarang, di Dewan Senggarang di sini pada Sabtu.

Mohd Puad (berdiri) melayan tetamu yang hadir Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Rengit dan Senggarang, di Dewan Senggarang, Batu Pahat pada Sabtu.
Mohd Puad (berdiri) melayan tetamu yang hadir Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Rengit dan Senggarang, di Dewan Senggarang, Batu Pahat pada Sabtu.

Sementara itu, ketika diminta mengulas berkenaan PRN di enam negeri, Mohd Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit berkata, kemenangan mampu dipertahankan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

“Saya yakin pengundi akan menjadikan pengalaman lepas dan memahami kepentingan kestabilan kerajaan dan juga hubungan yang baik antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat, selain pengundi muda juga diharap ada perubahan.

“Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang akan diadakan pada 14 Mei depan di Kuala Lumpur akan menjadi petanda kepada kestabilan serta kerajaan yang bakal dipilih rakyat pada PRN di enam negeri, tidak lama lagi,” katanya.