Isu tempoh tunggu giliran haji akan ditangani pengurusan TH

Idris Ahmad - Foto Bernama
Idris Ahmad - Foto Bernama
A
A
A
BUKIT GANTANG - Kerajaan memberi kepercayaan kepada pihak profesional dan pihak yang dilantik oleh Tabung Haji (TH) bagi menguruskan isu tempoh giliran menunggu yang lama bagi bakal jemaah untuk menunaikan haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, pihaknya tidak campur tangan dalam pengurusan TH kerana badan itu telah sedia maklum menangani isu berkenaan dan akan mengambil langkah serta tindakan yang sewajarnya.

"Sebahagian besar yang dilantik oleh TH pun merupakan orang yang dilantik pada zaman Pakatan Harapan dahulu dan kita juga tidak pernah menganggu perjalanan.



"Saya serahkan kepada mereka untuk bertindak secara profesional dan laporkan jika ada sebarang perbuatan tidak berintegriti kepada saya atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Karnival Mini Trong Sejahtera di Pejabat Penghulu Trong pada Isnin.

Idris diminta mengulas kebimbangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkenaan isu tempoh giliran menunggu yang begitu panjang sehingga mencecah 130 tahun untuk menunaikan haji antara perkara yang menjadi kegusaran umat Islam di Malaysia ketika ini.

Nik Mohd Hasyudeen dilaporkan berkata, kebimbangan itu berasas kerana sebelum sampai ke tempoh giliran, bakal jemaah mungkin sudah tidak ada lagi di dunia ini dan meminta penelitian lebih lanjut oleh TH yang bertanggungjawab untuk mengurus dan menyediakan perkhidmatan haji secara komprehensif dan sistematik demi kebajikan jemaah haji.
Artikel Berkaitan:


Idris bagaimanapun berkata, setakat ini, berdasarkan rekod dan maklum balas daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, mereka teruja dengan perkhidmatan TH dalam menguruskan jemaah haji Malaysia.

"Dua persidangan haji yang saya hadiri di Jeddah dan Makkah, memang puji secara berterusan terhadap pengurusan yang dilakukan,” katanya. -Bernama