'Jangan beri bola tanggung kepada pihak lawan' - Kon Yeow

Kon Yeow (tengah) bergambar bersama tetamu jemputan selepas merasmikan pelancaran semula Citadines Prai Penang, di sini pada Khamis.
Kon Yeow (tengah) bergambar bersama tetamu jemputan selepas merasmikan pelancaran semula Citadines Prai Penang, di sini pada Khamis.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Semua ahli Pakatan Harapan (PH) serta parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan diingatkan agar tidak beri 'bola tanggung' kepada pihak lawan hingga boleh menjejaskan sokongan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sebaliknya semua jentera parti diseru untuk memperkukuhkan sokongan bagi memastikan gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) menang besar pada PRN Pulau Pinang yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, beliau bersyukur apabila 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP telah menafikan ada gerakan untuk menggantikannya sebagai Ketua Menteri selepas PRN akan datang.

Menurutnya, pada masa ini beliau mahu fokus kepada persiapan untuk memenangi PRN dengan satu gabungan kuat diantara PH dengan BN.

"Bagi tujuan itu, maka saya menyeru semua keahlian baik dari DAP mahupun rakan-rakan kami dalam PH serta rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan supaya jangan menimbulkan peluang-peluang kepada musuh politik kita untuk mempermainkan isu yang boleh menjejaskan sokongan rakyat kepada barisan calon kita kelak.

"Saya rasa syukur sebab ada penafian yang telah dibuat malah ramai yang menyokong saya...Jadi marilah kita fokus untuk hadapi pilihan raya," katanya kepada media ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran semula Citadines Prai Penang, di sini pada Khamis.

Pada Rabu Sinar Harian melaporkan, Seramai 10 ADUN DAP Pulau Pinang menafikan terlibat dalam gerakan menghalang Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memegang jawatannya semula sekiranya PH menang pada PRN akan datang.

Kesemua mereka yang tidak memegang jawatan dalam barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang atau Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri menegaskan tidak bercakap dengan portal Malaysiakini berhubung laporan bertajuk, 'Ada desakan dalam DAP tukar Chow, Lim kembali jadi KM P Pinang'.

Mereka terdiri ADUN Air Putih, Lim Guan Eng; Lim Siew Khim (Sungai Pinang); Jason H'ng Mooi Lye (Jawi); Heng Lee Lee (Berapit); Joseph Ng Soon Siang (Air Itam) dan Ong Ah Teong (Batu Lanchang).

Turut bersama, Daniel Gooi Zi Sen (Pangkalan Kota); Satees Muniandy (Bagan Dalam); Syarleena Abdul Rashid (Seri Delima) dan Chris Lee Chun Kit (Pulau Tikus).

Dalam kenyataan bersama, mereka mendakwa artikel disiarkan portal itu berniat jahat dan tidak adil dengan tidak menyebut siapa tiga ADUN tersebut sekali gus mengundang persepsi negatif masyarakat terhadap mereka.

Difahamkan, Malaysiakini telah menarik balik laporan berita berkenaan dari portal itu pada Khamis.