Projek tebatan mampu selesai masalah banjir di HRPZII

Khairy (dua dari kanan) pada majlis penyerahan projek tebatan banjir di HRPZII, Kota Bharu pada Isnin.
Khairy (dua dari kanan) pada majlis penyerahan projek tebatan banjir di HRPZII, Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Projek Tebatan Banjir Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bernilai RM8 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) lalu mampu menyelesaikan masalah banjir yang melanda kawasan berkenaan setiap kali tibanya musim tengkujuh.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, banjir besar yang melanda negeri ini pada tahun 2014 lalu menyebabkan keseluruhan kawasan hospital tersebut ditenggelami air sekali gus melumpuhkan operasi.

"Wad dan lain-lain fasiliti hospital yang terjejas terpaksa ditutup, pesakit terpaksa dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.

"Keadaan ini disebabkan oleh sistem saliran di kawasan HRPZII tidak dapat menampung kadar dan amaun aliran air yang tinggi sehingga menyebabkan berlakunya banjir di kawasan ini," katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Projek Tebatan Banjir HRPZII di sini pada Isnin.

Menurut beliau, susulan itu kerajaan telah mengambil langkah dengan meningkatkan taraf kemudahan infrastruktur HPRZII terutamanya dalam persediaan untuk menghadapi bencana banjir.

Katanya, pembinaan itu merupakan projek pertama di negara ini melibatkan kemudahan hospital.

Tambah Khairy, kerja-kerja itu merangkumi beberapa skop utama iaitu pembinaan pagar konkrit, saliran air serta lain-lain kerja mekanikal dan elektrikal seperti sistem penghadang banjir dan pam air.

"Menerusi projek tersebut, sebanyak 14 pintu penghadang air dibina bertujuan untuk menghalang kemasukan air ke dalam kawasan hospital.

Artikel Berkaitan:

"Dengan adanya kemudahan ini ia dapat memastikan perkhidmatan kesihatan yang lebih efektif serta berkesan ketika musim banjir," katanya.