Empat projek tebatan banjir, PLSB sedang dilaksanakan

Wan Rosdy ketika menjawab pertanyaan-pertanyaan lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Pahang di Wisma Sri Pahang pada Selasa.
Wan Rosdy ketika menjawab pertanyaan-pertanyaan lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Pahang di Wisma Sri Pahang pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Empat projek tebatan banjir dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) yang dilaksanakan kerajaan Pahang melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bernilai RM501 juta.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi projek PLSB Sungai Kuantan Pakej 1 iaitu menaik taraf Sungai Belat dan membina struktur pencegah banjir, status perkembangan projek itu sebanyak 99.73 peratus siap.

"Baki 0.27 peratus lagi membabitkan kerja bekalan elektrik. Justeru kontraktor terbabit meminta lanjutan tempoh selama tiga bulan bagi kerja kemasukan bekalan elektrik membabitkan projek itu.

"Projek tebatan banjir lain ialah RTB Pekan Fasa 2 iaitu pembinaan tebatan Sungai Pahang dan kerja berkaitan sekitar 69 peratus serta projek Sungai Sematan, Temerloh bagi membina ban kawasan Mentakab (lapan peratus).

"PLSB Sungai Kuantan Pakej 3 iaitu membina ban pencegah banjir di Perkampungan Cenderawasih serta mempertingkatkan ban sedia ada di Perkampungan Sungai Isap serta Sungai Semantan Temerloh Fasa 1," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan V Arumugam (BN-Sabai) pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang pada Selasa.

Sebelum itu, Arumugam ingin tahu perkembangan projek tebatan banjir di Pahang untuk mengurangkan risiko banjir berulang.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, tiga lagi tebatan banjir yang sedang dalam peringkat reka bentuk yang membabitkan kos RM168.7 juta.

Jelasnya, ia membabitkan projek di PLSB Sungai Jelai, Lipis Fasa 1, PLSB Sungai Kuantan Pakej 2 dan membina ban pencegah banjir di Sungai Pandan serta Sungai Kuantan di Bukit Rangin dan kerja berkaitan.

Beliau menambah JPS telah membuat kertas permohonan cadangan Rancangan Tebatan Banjir Daerah Bentong secara 'off-budget' kepada kerajaan Persekutuan dengan anggaran kos sebanyak RM410 juta pada tahun 2022 dan sehingga kini.

Dalam persidangan itu, Wan Rosdy menjelaskan, kerajaan mengakui bahawa Pahang sentiasa dilanda banjir dan ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan, justeru menjadi tugas dan tanggungjawan kerajaan negeri untuk memohon peruntukan daripada kerajaan pusat.

“Selain memberikan keutamaan mana yang lebih penting, banyak kawasan dilanda banjir dan pihak JPS telah buat kajian manakala lazimnya permohonan ini mengambil masa.

“Apabila peruntukan sampai, pihak JPS akan membuat cadangan di mana lokasi yang perlu diberi keutamaan untuk dilaksana projek tebatan banjir ini," ujarnya