Cubaan seludup 1 tan ekstasi bernilai RM78 juta gagal

Zazuli (tiga dari kiri) bersama pegawai kanan JKDM menunjukkan dadah jenis ekstasi yang dirampas di Pelabuhan NBCT pada 6 Mei lalu.
Zazuli (tiga dari kiri) bersama pegawai kanan JKDM menunjukkan dadah jenis ekstasi yang dirampas di Pelabuhan NBCT pada 6 Mei lalu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah jenis ekstasi bernilai RM78 juta di pintu masuk Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini pada 6 Mei lalu.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, dadah seberat 1,063.206 kilogram (kg) itu ditemui disembunyikan dalam 20 unit 'silent compressor' yang telah diubah suai.

Menurutnya, kontena yang dibawa dari negara Eropah itu ditahan oleh Unit Narkotik, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang pada jam 9 pagi.

"Hasil pemeriksaan dibuat menemui sebahagian 'silent compressor' yang telah diubah suai ruang dalaman untuk menyembunyikan bungkusan berisi pil-pil ekstasi seberat 1,063.206 kg yang dianggarkan nilai pasaran melebihi RM78 juta.

"Daripada siasatan yang dijalankan, seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang bertindak sebagai ejen kepada kontena berkenaan ditahan, " katanya ketika sidang akhbar di Kompleks Pencegahan Negeri Pulau Pinang di sini pada Jumaat.

Zazuli berkata, rampasan dadah berkenaan adalah yang paling terbesar di negara ini pada tahun ini.

Beliau berkata, siasatan masih lagi dijalankan bagi mengenal pasti pihak-pihak lain yang terlibat dalam pengimportan dadah secara besar-besaran ini.

"Suspek yang ditahan kini direman selama tujuh hari untuk tindakan lanjut.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 sebatan rotan sekiranya tidak dikenakan hukuman mati," katanya.