Pelaksanaan NACP yakin mampu selesai 49 baki inisiatif

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM- Pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (National Anti-Corruption Plan - NACP) yang kini dipantau oleh Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) diyakini mampu menyelesaikan 49 baki inisiatif yang belum dilaksanakan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, daripada 49 inisiatif yang masih dalam tindakan Ketua Agensi Peneraju, 39 inisiatif dijangka dapat menepati masa dan diselesaikan sebelum penghujung Disember 2023 bersamaan dengan 91 peratus pencapaian secara keseluruhan pelaksanaan NACP.

“Terdapat 10 inisiatif didapati berkemungkinan melewati tahun 2023 disebabkan oleh kompleksiti pelaksanaan yang melibatkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan, pindaan perundangan semasa dan pewujudan perundangan baharu.

“Sehingga 31 Disember 2022, daripada keseluruhan 111 inisiatif NACP yang dipantau, sebanyak 62 inisiatif telah selesai pelaksanaan dan penyiapan adalah di peringkat pengeluaran output,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut SPRM, ia bersamaan dengan 55 peratus menjadikan baki inisiatif yang kini dipantau adalah sebanyak 49 inisiatif.

Tambahnya, setelah mengambil kira Laporan Semakan Semula Separuh Penggal NACP yang diterbitkan pada tahun 2021 dan juga tindakan yang telah diambil oleh Ketua Agensi Peneraju ke atas inisiatif itu serta status pelaksanaan yang digariskan telah menunjukkan kemajuan, walaupun negara berdepan masalah pandemik Covid-19.

“SPRM optimis dengan pelaksanaan NACP 2019-2023 dan komited untuk menyelesaikan baki inisiatif yang belum dilaksanakan.

“Komitmen Ketua Agensi Peneraju kepada inisiatif NACP 2019-2023 terhadap semua pihak dalam menjayakan usaha murni ini merupakan suatu manifestasi terhadap kesungguhan menuju sebuah negara bebas rasuah yang memartabatkan integriti serta kebertanggungjawaban berpaksikan ekosistem governans yang baik," jelasnya.

Justeru, NACP adalah bersifat merentas masa, 'living document' dan mengambil kira dasar serta keperluan semasa.

“Pelan yang dilancarkan pada 29 Januari 2019 merupakan iltizam ditunjukkan oleh negara selari dengan semangat terkandung dalam United Nations Convention against Corruption (UNCAC) yang mana Malaysia adalah salah sebuah negara anggota apabila menandatangani konvensyen ini pada 1 Disember 2003.

“Artikel 5 konvensyen ini menetapkan bahawa sesebuah negara perlu mempunyai dasar dan strategi antirasuah yang didokumenkan,” katanya.