Kedah larang semua konsert terbuka

Mohd Firdaus melakukan gimik pelancaran Hari Sukan Negara 2022 Peringkat Negeri Kedah di Dataran Tasik Darulaman pada Sabtu.
Mohd Firdaus melakukan gimik pelancaran Hari Sukan Negara 2022 Peringkat Negeri Kedah di Dataran Tasik Darulaman pada Sabtu.
A
A
A

JITRA - Kerajaan Kedah memutuskan sebarang penganjuran konsert secara terbuka tidak akan dibenarkan di negeri ini selepas kontroversi konsert di hadapan Masjid Zahir pada minggu lalu.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Mohd Firdaus Ahmad berkata, ketetapan itu dibuat dalam Mesyuarat Exco Kedah selepas mendapat persetujuan semua pihak pada Rabu lepas.

Menurut Mohd Firdaus, beliau telah membentangkan perkara berkenaan dalam mesyuarat yang dihadiri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan barisan Exco Kedah.

“Keputusan yang kita buat adalah Kedah telah melarang sebarang penganjuran konsert secara secara terbuka, namun penganjuran program keusahawanan tiada masalah.

“Konsert secara terbuka itu melibatkan aktiviti yang membuatkan orang awam ataupun pengunjung terkinja-kinja dan seronok sambil mendengar muzik hingga menyebabkan mereka lalai. Itu yang diperincikan,” katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika mengulas hasil perbincangan bersama Menteri Besar Kedah berhubung perkembangan larangan konsert secara terbuka di negeri ini.

Mohd Firdaus ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2022 Peringkat Negeri Kedah di Dataran Tasik Darulaman di sini pada Sabtu.

Mohd Firdaus berkata, ada individu salah faham dengan mengatakan kerajaan negeri tidak benarkan sebarang program dilaksanakan di Kedah.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penganjuran program tertentu seperti karnival tetap dibenarkan diadakan di Kedah, namun konsert secara terbuka tidak boleh diselit dalam program itu.

“Sebagai contohnya, ada sambutan hari sukan pada hari ini, kita memang ada pentas tetapi tiada konsert. Atas (pentas) itu boleh buat pertandingan apa-apa (dan) akan dipertimbangkan,” katanya.

Tambah beliau, aktiviti ‘busking’ secara kecil-kecil mungkin akan dibenarkan selepas dipertimbangkan oleh peringkat daerah sebelum sebarang kelulusan lesen diberi.

“Tetapi kerajaan negeri memang telahpun buat ketetapan bahawa tidak ada sebarang konsert terbuka. Memang tidak dibenarkan anjur (buat) masa ini,” katanya.

Mohd Firdaus berkata, ada pegawai akan memantau sebarang penganjuran program di Kedah selepas ini bagi memastikan kejadian seperti mana tular tidak akan berulang kembali.

Dalam perkembangan sama, Mohd Firdaus yakin pegawai-pegawai daerah akan meneliti setiap permohonan penganjuran program secara terperinci berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Jikalau, kita tengok permohonan itu kena (sesuai) dan juga tepat dengan SOP. Insya-ALLAH akan diluluskan tetapi hendak secara terbuka memang tidak akan dibenarkan," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kerajaan Kedah menghentikan sementara penganjuran konsert terbuka sehingga ketetapan baharu dikeluarkan dalam masa terdekat.