1,200 pesakit kanser kanak-kanak bernaung di bawah FOCCAN

GEORGE TOWN- Seramai 1,200 kanak-kanak yang menghidap kanser bersama keluarga masing-masing kini menerima sokongan Persatuan Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) bagi membantu mereka menghadapi cabaran sepanjang tempoh rawatan dan proses pemulihan.
Pengerusinya, Maznah Tayib berkata, bantuan paling mendesak diperlukan pesakit dalam tempoh tiga tahun pertama selepas diagnosis kerana kebanyakan mereka masih berada dalam keadaan kritikal serta memerlukan perhatian dan sokongan berterusan.
Menurutnya, peranan FOCCAN tidak terhenti selepas pesakit selesai menjalani rawatan sebaliknya persatuan itu turut memberi perhatian kepada proses pemulihan emosi dan usaha mengembalikan kehidupan mereka seperti kanak-kanak lain.
"Antara inisiatif dilaksanakan termasuk membantu pesakit kembali ke sekolah selain membina semula keyakinan diri supaya mereka tidak berasa terpinggir apabila kembali berinteraksi dengan masyarakat.
“Kita mahu mereka kembali menikmati kehidupan seperti kanak-kanak lain termasuk bersekolah dan bergaul dengan rakan sebaya.
“Selain bantuan rawatan, aspek emosi dan keceriaan mereka juga penting supaya mereka terus mempunyai semangat untuk menghadapi kehidupan,” katanya.
Beliau berkata pada sidang akhbar Majlis Pelantikan Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie sebagai Duta Kanak-Kanak Kanser FOCCAN di sini pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, Wings Motor Gang Society ASEAN yang diasaskan Awie turut menyumbangkan RM5,000 kepada persatuan berkenaan bagi membantu kanak-kanak yang menghidap kanser.
Maznah berkata, FOCCAN turut menggerakkan pelbagai program berbentuk kebajikan dan rekreasi bagi menceriakan pesakit selain memberikan sokongan moral kepada keluarga yang berdepan cabaran menjaga anak masing-masing.
"Persatuan itu menyediakan sokongan kepada pesakit kanser daripada bayi baru lahir sehingga berusia 18 tahun termasuk mereka yang menghidap leukemia dan neuroblastoma," katanya.
Sementara itu, ibu kepada pesakit kanser, S Santia, 35 menyifatkan pelantikan Awie sebagai satu perkembangan positif yang mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kanser kanak-kanak.
Menurutnya, kehadiran figura terkenal seperti penyanyi itu sebagai duta FOCCAN berpotensi menarik lebih banyak perhatian terhadap keperluan serta cabaran yang dihadapi pesakit dan keluarga mereka.
Anak perempuannya, Y Hemanika, 6 yang sedang menjalani perjuangan melawan kanser neuroblastoma turut meluahkan rasa gembira apabila mengetahui Awie dilantik sebagai duta persatuan berkenaan.
Hemanika berkata, walaupun tidak mengenali penyanyi itu secara dekat, dia teruja apabila dimaklumkan Awie akan memberikan sokongan kepada kanak-kanak sepertinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

